SANDAKAN, 18 Nov (Bernama) -- Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila Hazem Mubarak Musa mahu meneruskan legasi bapanya dalam membawa pembangunan berterusan, sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Anak kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman itu berkata hasratnya menceburi politik bukan semata-mata kerana latar belakang keluarganya, tetapi didorong oleh keinginan untuk menyumbang kepada kemajuan kawasan itu serta membela nasib rakyat.
“Sudah pasti saya ingin meneruskan legasi keluarga, tetapi lebih penting bagi saya adalah untuk menjadi sebahagian daripada usaha membangunkan komuniti dan menyumbang kepada kesejahteraan penduduk Sungai Manila,” katanya semasa program ramah mesra di Sungai Manila.
Sepanjang tiga tahun memegang jawatan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sungai Manila, beliau dan pasukannya kerap turun padang bagi menyantuni masyarakat dan mendengar masalah rakyat.
“Kami yakin kerana sejak tiga tahun lepas, kami sentiasa turun menyantuni masyarakat, mendengar masalah rakyat dan kita juga mempunyai perancangan apa pendekatan terbaik untuk membantu masyarakat setempat kerana pada akhirnya, rakyat akan menilai,” katanya.
Hazem Mubarak berkata kedudukan bapanya sebagai Yang Dipertua Negeri tidak wajar diseret dalam landskap politik kerana peranan itu neutral dalam pentadbiran negeri.
“Saya selalu menyatakan bahawa TYT tidak boleh terlibat dalam politik. Beliau tidak boleh mengundi atau berkempen. Jadi isu itu tidak sepatutnya dikaitkan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui rekod pentadbiran bapanya ketika menjadi Ketua Menteri dan wakil rakyat terdahulu di Sungai Manila membawa banyak pembangunan di kawasan tersebut.
“Kalau mahu bercakap tentang jasa beliau ketika menjadi Ketua Menteri, sudah tentu banyak pembangunan dibawa. Tetapi, saya masuk politik dengan tekad sendiri. Pesanan beliau kepada saya ialah, jika terlibat dalam politik, saya mesti bekerja untuk rakyat, mendengar suara mereka dan membela nasib mereka,” katanya.
Bagi membantu golongan belia, Hazem berkata beliau bertekad membantu graduan universiti melalui program padanan pekerjaan, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia berpendidikan,” katanya.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
| PENCALONAN/NOMINATION - SABAH | ||||||||||||
| N51: SUNGAI MANILA: SABAH: 18,217 | ||||||||||||
|
||||||||||||
| (2020: Mokran Ingkat: BN-UMNO: Maj: 1,417) |
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial