Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri
KOTA BELUD, 20 Nov (Bernama) -- Yakin dengan potensi besar pertanian, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan Datuk Japlin Akim bertekad mengaktifkan semula sawah padi terbiar dan memacu pembangunan ekonomi kawasan itu sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Japlin, 58, berkata Usukan pernah menjadi antara jelapang padi signifikan di Sabah namun sebahagian besar tanah sawah tidak lagi diusahakan sekali gus menjejaskan produktiviti petani setempat.
“Untuk kawasan Usukan ini, kita ada kawasan sawah padi yang agak luas dan satu ketika dahulu, tanah ini agak terbiar dan saya fikir bila saya menjadi wakil rakyat, antara tumpuan saya ialah membuka tanah ini semula, mengaktifkan semula penanaman padi supaya petani mendapat pendapatan melalui sektor pertanian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Usukan itu berkata komitmen beliau terhadap pembangunan pertanian bukan sekadar janji kempen sebaliknya berpaksikan pengalaman peribadi dan kerjaya yang telah berakar umbi dalam sektor berkenaan sejak kecil.
“Saya adalah seorang anak petani yang memang daripada kecil, daripada lahir hidup sebagai petani. Selepas itu, saya pun belajar di Universiti Pertanian Malaysia, saya mendapat ijazah dalam bidang perniagaan tani… asas pertanian itu saya ada," katanya.
Japlin berkata perjalanan kerjayanya turut mengukuhkan keupayaan beliau untuk memimpin usaha mengembangkan sektor pertanian Usukan.
“Kemudian saya bekerja selama 15 tahun, mulanya sebagai pegawai di Koperasi Pembangunan Desa, kemudian 10 tahun saya bekerja di Lembaga Pertubuhan Peladang... lepas itu, bila saya menjadi wakil rakyat pada tahun 2004, saya dilantik sebagai Pembantu Menteri Pertanian,” katanya.
Beliau berkata rekod pengalaman itu meyakinkannya bahawa Usukan mampu kembali muncul sebagai wilayah pengeluaran makanan yang berdaya maju, terutama dalam tanaman padi, getah serta pengukuhan sektor nelayan dan penternakan.
Japlin berkata keadaan tanah pertanian yang terbiar ketika ini berpunca daripada kekurangan fokus penyelarasan sebelum ini namun ia boleh ditangani melalui perancangan teratur dan pelaksanaan strategik.
“Pada saya, saya adalah orang yang paling sesuai untuk mengaktifkan ini berdasarkan latar belakang kehidupan saya, pendidikan saya, pengalaman saya bekerja,” katanya.
Berdepan persaingan enam penjuru, Japlin antara lain dicabar bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak daripada Barisan Nasioan (BN) dan Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan).
Japlin berkata fokus beliau bukanlah siapa yang menjadi lawan politik sebaliknya kepada bentuk perkhidmatan dan tawaran terbaik untuk rakyat Usukan.
“Saya tidak rasa tercabar dan saya tidak rasa terkejut… pada saya, saya tidak memikirkan dengan siapa saya harus bertanding tetapi saya fikir untuk berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Beliau juga berkata khidmatnya di lapangan bukan bermula pada musim kempen tetapi telah diteruskan sejak 2020.
Japlin berkata Usukan mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju sektor pertanian di Kota Belud melalui pemodenan aktiviti pertanian tradisional dan penggerakan semula tanah terbiar sebagai sumber ekonomi baharu kepada penduduk.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala undi awal pada 25 Nov.
Untuk berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
N10: USUKAN: SABAH: 24,235
1.Jefris Muadis (PIS)
2.Isnaraissah Munirah Majilis@Fakharudy (Warisan)
3.Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (BN-UMNO)
4.Ajun Meliyon (Bebas/IND)
5.Datuk Japlin Akim@Abd Hamid (GRS-Gagasan Rakyat)
6.Mohd Lin Harun (STARSABAH)
(2020: Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak: BN-UMNO: Maj: 4,298)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial