POLITIK > BERITA

PRN SABAH: MCMC TERIMA SATU LAPORAN PENYEBARAN BERITA PALSU

23/11/2025 02:04 PM

SANDAKAN, 23 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima satu laporan berkaitan penyebaran maklumat palsu dalam media sosial sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 setakat ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata MCMC akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap seorang pengguna media sosial yang memuat naik hantaran menghasut rakyat Sabah supaya membenci Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan dengan itu, Teo menasihati orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab sepanjang tempoh berkempen untuk mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih.

Mengulas berkenaan calon yang melanggar undang-undang, beliau berkata hingga kini pihaknya belum menerima sebarang aduan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan dengan kesalahan kempen melalui platform media sosial.

“Jika ada aduan daripada SPR, kemungkinan MCMC akan membantu menurunkan bahan kempen calon terbabit, namun setakat ini memang tiada aduan," katanya ketika melawat Pusat Media Kementerian Komunikasi bersempena dengan PRN Sabah ke-17 di sini hari ini.

Beliau berharap situasi positif itu akan kekal sehingga tamat tempoh kempen PRN pada 28 Nov ini. 

Menurut Teo, berdasarkan situasi semasa, hampir semua calon menggunakan media sosial sebagai medium berkempen kerana lebih mudah untuk mendekati pengundi termasuk mereka yang sukar ditemui secara bersemuka.

Penggunaan media sosial katanya, sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan calon untuk berkongsi pandangan, menjelaskan sebab menyertai politik dan menawarkan diri sebagai wakil rakyat.

“Bagaimanapun, saya berharap semua calon dapat menggunakan Internet secara beretika dan bertanggungjawab ketika berkempen,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 Nov bagi undi awal, manakala 29 Nov sebagai hari pengundian.

Mengikut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pengundi terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama-sama pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan