SANDAKAN, 25 Nov (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong Mohd Zharif Aizat Samsudin, 30, meneruskan pendekatan kempen rumah ke rumah kerana yakin cara itu masih berkesan bagi mendengar sendiri denyut nadi rakyat.
Beliau berkata walaupun kempen rumah ke rumah dianggap tradisional, cara itu memberi ruang kepadanya untuk lebih rapat dengan penduduk dan pengundi Sekong melalui interaksi secara bersemuka.
“Jika kita buat program besar, ia tidak dapat menyentuh hati pengundi. Sebab itu saya kekalkan tradisi berkempen dari rumah ke rumah untuk mendengar sendiri luahan mereka,” katanya kepada Bernama ketika berkempen rumah ke rumah di Kampung Bonggaya Baru Hujung di Batu Sapi di sini hari ini.
Mohd Zharif Aizat berkata beliau akan terus komited dengan pendekatan itu dan setakat ini hampir 70 peratus kampung di DUN Sekong berjaya dikunjungi sejak kempen bermula.
Selepas seminggu berkempen, katanya antara isu utama dibangkitkan penduduk, khususnya di perkampungan atas air ialah masalah pengurusan sampah yang tidak teratur.
Sehubungan dengan itu, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, beliau berhasrat menyediakan sistem pembuangan sampah yang lebih teratur demi meningkatkan tahap kebersihan di kawasan berkenaan.
Mengenai isu pewartaan kampung yang turut dibangkitkan penduduk, Mohd Zharif Aizat berkata sekiranya BN diberi peluang kembali membentuk kerajaan negeri, beliau akan membantu menyelesaikan isu pewartaan kampung-kampung terbabit.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
-- BERNAMA
N53: SEKONG: SABAH - 27,518
(2020: Alias Sani: Warisan Plus-Warisan: Maj: 1,599)
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial