POLITIK > BERITA

PRN SABAH: MASIDI TEKAN KEPENTINGAN PENINGKATAN KEMAHIRAN ANAK MUDA KARANAAN

26/11/2025 09:14 AM

Oleh Siti Baaqiah Mamat

RANAU, 26 Nov (Bernama) -- Memperkukuh kemahiran anak muda melalui program latihan semula dan peningkatan kemahiran antara tumpuan utama calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dalam memastikan golongan muda terus bersaing dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.

Penyandang kerusi berkenaan sejak 2004 berkata landskap ekonomi dan peluang pekerjaan hari ini jauh berbeza berbanding sedekad lepas, justeru golongan muda perlu dibimbing agar memiliki kemahiran baharu serta nilai tambah yang boleh meningkatkan kebolehpasaran mereka. 

“Dunia sudah berubah, 10 tahun lepas mudah untuk cari kerja, tetapi sekarang pasaran kerja sangat kompetitif, jadi saya mahu beri penekanan kepada reskilling (latihan semula) supaya anak muda kita dapat meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya kepada Bernama.

Masidi, 74, berkata tidak semua anak muda mahu menjadi petani atau kekal tinggal di Ranau, namun penghijrahan tanpa kemahiran yang diperlukan hanya akan menyukarkan mereka untuk mendapatkan pekerjaan.

Selain itu, Masidi yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun di kawasan itu turut menekankan keperluan menambah baik infrastruktur asas, khususnya rangkaian jalan raya ke kawasan pertanian dan kampung-kampung terpencil di Karanaan.

Masidi yang juga Menteri Kewangan negeri berkata masyarakat di kawasan itu rajin bertani, namun usaha mereka terbantut jika hasil tidak dapat dipasarkan dengan lancar.

“Jalan raya penting untuk memasarkan hasil tani kerana kalau produk sukar sampai ke pasaran, usaha mereka sia-sia dan kemiskinan akan berterusan,” katanya.

Selain sektor pertanian yang menjadi asas ekonomi Ranau, Masidi turut melihat potensi besar dalam industri pelancongan, termasuk pembangunan produk berkualiti yang mampu menarik pelancong berbelanja tinggi, khususnya melalui peningkatan bilangan inap desa dan tarikan pelancongan sedia ada di Kundasang dan sekitarnya.

Beliau turut berharap kempen PRN Sabah ke-17 dapat berlangsung secara harmoni, sambil mengingatkan bahawa sensitiviti masyarakat tempatan perlu dihormati, terutamanya oleh jentera parti dari luar Sabah.

“Orang Ranau terkenal lemah lembut. Kita alu-alukan semua petugas kempen, termasuk dari Semenanjung, tetapi mereka perlu menyesuaikan diri dengan budaya tempatan. Hubungan antara penganut agama di sini sangat mesra, dan kita perlu menjaga keharmonian itu,” katanya.

Masidi menegaskan bahawa perbezaan politik tidak seharusnya menggugat perpaduan masyarakat Ranau.

“Berhabislah (bersungguh-sungguh) kempen, tetapi jangan lupa akhirnya kita semua orang Malaysia, orang Sabah,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.p

 

N37: KARANAAN: SABAH: 18,696

 

1. Karim Adam                               (KDM)

2. Mohd Anuar Abdul Ghani           (STARSABAH)

3. Datuk Seri Masidi Manjun          (GRS-Gagasan Rakyat)

4. Mukinin @ Mazlan Daiman        (Warisan)

5. Naomi @ Neomi Francis            (Bebas/IND)

6. Md Nadzmin Kamin                    (BN-UMNO)

7. Georgina L George                     (UPKO)

 

2020: Masidi Manjun: PN-Bersatu: Maj: 4,814)

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan