TAWAU, 26 Nov (Bernama) -- Walaupun tidak terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) Tan Sri Liew Yun Fah memilih untuk membantu calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Samsiah Usman memenangi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan.
Liew berkata Samsiah yang juga daripada parti PHRS, satu daripada parti yang bernaung di bawah GRS, mewakili suara anak muda dan mempunyai idea-idea bernas tentang cara terbaik untuk membangunkan Kukusan.
“Beri peluang kepada calon baharu. Suara orang muda penting. Samsiah ada idea, komitmen dan kemampuan untuk menjaga belia Kukusan,” katanya ketika berucap pada program kempen bersama belia Kukusan di sini, yang turut dihadiri calon GRS bagi Kukusan itu.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberikan komitmen untuk bekerjasama dalam melaksanakan agenda pembangunan di Kukusan dan Merotai, yang memerlukan kesinambungan kepimpinan GRS.
Liew berkata Kukusan memiliki kelompok belia yang matang dan tidak mudah dipengaruhi janji kosong.
“Belia bukan senang dibeli. Mereka perlukan peluang kerja dan kehidupan lebih baik, bukan slogan semata-mata,” katanya sambil menambah masih ramai anak muda terpaksa bekerja di luar kerana kekurangan peluang pekerjaan yang perlu ditangani segera.
Beliau berkata kerajaan Sabah yang dipimpin oleh GRS disifatkan sebagai serasi dengan keperluan orang muda di kawasan Kukusan.
“Kukusan dan Merotai memerlukan pembangunan yang konsisten, bukan eksperimen politik,” katanya.
Mengenai pewartaan kampung dan isu tanah, Liew berkata perkara itu perlu disegerakan supaya penduduk mendapat kepastian hak milik.
“Tanah itu milik orang kampung. Kita mahu ia diluluskan segera supaya mereka boleh tinggal dengan aman dan tidak dihimpit ketidakpastian,” katanya.
Hari pengundian PRN Sabah Ke-17 yang mempertandingkan 73 kerusi DUN berlangsung Sabtu ini.
Untuk berita terkini PRN Sabah Ke-17, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
N70: KUKUSAN: SABAH: 19,225
|
1. Ab Rahman Yahya |
(STARSABAH) |
|
2. Samsiah Usman |
(GRS-PHRS) |
|
3. Chaya Sulaiman |
(BN-UMNO) |
|
4. Mariani Sulaiman |
(Anak Negeri) |
|
5. Ishak Ismail |
(PPRS) |
|
6. Razik Muyong |
(PIS) |
|
7. Francis Lawrence @ Yusop |
(PN-Bersatu) |
|
8. Ma'mun Sulaiman |
(Warisan) |
|
9. Hairul Amin Arif |
(Bebas/IND) |
|
10. Rina Jainal |
(Bebas/IND) |
(2020: Rina Jainal: Warisan Plus-Warisan: Maj: 10)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial