Oleh Mohd Khairi Idham Amran
TAWAU, 26 Nov (Bernama) -- Pengundi di Sebatik rindukan sebuah kerajaan yang mampu menyediakan keperluan asas yang stabil dan berterusan, kata calon Barisan Nasional (BN) kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Aslan Fadli Samsul Alang.
Beliau berkata sepanjang siri kempen yang dijalankan di kawasan berkenaan, pengundi semakin menunjukkan kecenderungan kepada BN kerana menginginkan semula pentadbiran yang mampu mengurus keperluan asas dengan lebih teratur seperti dirasai mereka ketika BN mentadbir.
“Sebab itu pada Pilihan Raya Umum 2013 hingga 2018, BN tidak pernah kalah, namun selepas itu, kita beri peluang kepada parti lain tetapi kali ini kita bertanding.
“Penerimaan masyarakat di Sebatik itu, Alhamdulillah kerana mereka rindukan sebuah parti yang boleh membantu, khususnya kepada mereka punya keperluan,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Aslan Fadli berkata keperluan asas seperti jalan raya, elektrik, air dan liputan Internet menjadi isu utama pengundi, terutama di Pulau Sebatik yang pernah berdepan krisis bekalan air ketika musim kemarau.
Beliau berkata ketika krisis itu berlaku, BN tampil membantu penduduk yang terjejas dengan memberikan bantuan 10,000 karton air.
Selain itu, katanya penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang turut digariskan bagi memastikan masalah air tidak berulang.
“Kita akan membersihkan dan memperbaiki empangan yang ada di Pulau Sebatik yang sekarang terlalu cetek dan menyebabkan takungan air berkurangan.
“Insya-Allah kalau kita dapat membersihkan, masalah air ini dapat ditangani dalam jangka masa pendek,” katanya.
Aslan Fadli akan mencabar penyandang kerusi berkenaan Datuk Hassan A Gani Pg Amir daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pertembungan 10 penjuru.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
| PENCALONAN/NOMINATION - SABAH | ||||||||||||||||||||
| N73: SEBATIK: SABAH: 16,893 | ||||||||||||||||||||
|
||||||||||||||||||||
| (2020: Hassan A Gani Pg Amir: Warisan Plus-Warisan: Maj: 522) | ||||||||||||||||||||
| (Kini/Now: GRS-Gagasan Rakyat) |
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial