SANDAKAN, 26 Nov (Bernama) -- Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga, Datuk Amirshah Yaakub bertekad menyelesaikan isu bekalan air di kawasan berkenaan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Beliau berkata isu itu sedang ditangani antaranya melalui kerja-kerja penggantian paip usang di Kampung Tinusa 2 bagi memastikan penduduk di perkampungan atas air itu menikmati bekalan air lebih stabil.
“Setakat ini, 45 peratus paip (di Kampung Tinusa 2) telah diganti dan projek itu akan diteruskan. Peruntukan sebanyak RM3 juta oleh kerajaan juga telah diluluskan untuk membina laluan lebih baik ke kampung tersebut.
“Sekiranya diberikan mandat pada pilihan raya kali ini, saya akan berusaha memastikan isu-isu rakyat di kawasan Sungai Sibuga dapat diselesaikan sebaik mungkin,” katanya kepada Bernama.
Amirshah berkata bukan sekadar isu bekalan air, elektrik dan jalan raya diberi keutamaan, malah pembinaan rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) serta bantuan kewangan kepada pelajar juga akan diteruskan sekiranya beliau dipilih sebagai wakil rakyat.
“Saya melihat pengundi perlu memilih pemimpin yang boleh membawa pembangunan dan kestabilan politik.
“Kita memerlukan sebuah kerajaan yang stabil bagi memastikan ekonomi Sabah terus berkembang, sekali gus membuka lebih banyak ruang pembangunan di kawasan yang selama ini terpinggir,” katanya.
Hari pengundian PRN Sabah ke-17 yang mempertandingkan 73 kerusi DUN berlangsung Sabtu ini.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
N52: SUNGAI SIBUGA: SABAH: 38,678
(2020: Mohamad Hamsan Awang Supian: BN-UMNO: Maj: 1,538)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial