POLITIK > BERITA

PRN SABAH: KEKALAHAN TERUK BERSATU DIDAKWA BERPUNCA DARIPADA KELEMAHAN MUHYIDDIN

03/12/2025 06:40 PM

KOTA KINABALU, 3 Dis (Bernama) -- Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah Yunus Nurdin hari ini mendakwa kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 baru-baru ini adalah disebabkan kelemahan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau mendakwa ketika jentera Bersatu Sabah melakukan persiapan rapi untuk menghadapi PRN tersebut, mereka berdepan pelbagai pergolakan dalaman termasuk pemimpin bahagian dan ahli diambil tindakan malah dipecat kerana mengkiritik kepimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu.

Ahli Majlis Pimpinan Bersatu pusat itu juga mendakwa tiada peruntukan kewangan diberikan oleh Bersatu pusat untuk jentera mengatur gerak bagi memastikan kemenangan 33 calon parti itu pada PRN Sabah ke-17.

“Ketiadaan sumber kewangan menyukarkan kami malah ada calon terpaksa menggadaikan kereta, rumah dan harta mereka untuk kita berjuang pada PRN ini... kita semua menanggung hutang sekarang ini untuk parti... Bersatu Sabah mengalami kegagalan yang saya kira amat memalukan. 

“Kami mahu Presiden parti bertanggungjawab atas kelemahan beliau sebagai pemimpin dan mendesak Presiden untuk berundur, meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu dan juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN)," katanya pada sidang media di Pejabat Badan Pimpinan Bersatu Sabah di sini.

PRN Sabah ke-17 menyaksikan Bersatu, yang bertanding atas tiket PN, tewas di kesemua 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi manakala dua lagi komponen parti berkenaan iaitu Gerakan tewas di semua tiga kerusi manakala PAS menang satu daripada lima kerusi DUN yang ditandingi.

Yunus juga mendakwa desakan itu turut disokong oleh 20 daripada 24 bahagian Bersatu di Sabah, dan beliau serta penyokongnya bersedia meletak jawatan beramai-ramai jika dikenakan tindakan tidak adil oleh parti.

“Tidak (pernah) terfikir (untuk) keluar (Bersatu) kerana parti ini di Sabah kami yang bina kembali dengan usaha serta sumber kewangan kami sendiri... jadi, kenapa mesti kami (yang) keluar, sepatutnya pemimpin yang lemah itu meletak jawatan, memberi laluan kepada pemimpin yang lebih bagus.

"Kami telah suarakan kepada pimpinan pusat, sepatutnya benda ini tidak berlaku kepada kami terutamanya yang sedang berhadapan dengan kempen pilihan raya... ini memberi kesan yang mendalam terutamanya keyakinan akar umbi dan ahli parti di peringkat negeri Sabah," katanya.

Beliau berkata sehingga kini, pihaknya masih tidak dapat menghubungi Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee untuk mengadakan perbincangan lanjut dan memohon beliau supaya tampil menjernihkan keadaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan