SEKINCHAN, 20 Dis (Bernama) -- Status MIC antara perkara yang akan dibincangkan pada Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) tahun depan, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata bagaimanapun, perbincangan berhubung perkara itu tidak termasuk dalam agenda Perhimpunan Agung UMMO 2025 yang dijadualkan berlangsung pada Januari ini.
“Perkara ini tidak ada kena-mengena dengan perhimpunan agung, kerana status UMNO dengan MIC sama saja dalam Barisan Nasional, kita akan adakan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN Januari tahun depan dan ketika itu kita akan putuskan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pengumuman Pakej Lengkap Desa Kirana di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam BN.
Bagaimanapun, Presiden MIC Tan Sri S. A Vigneswaran berkata ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk diteliti.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut meminta perwakilan Sabah untuk turun membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag susulan tarikh yang bertindih dengan perhimpunan agung parti berkenaan.
“Namun, jika mereka telah membeli tiket dan menempah bilik, kita tidak menghalang untuk mereka datang ke perhimpunan agung. Bagi mereka yang tidak dapat datang, kita akan siarkan secara dalam talian di semua 25 bahagian di Sabah.
“ … sekiranya mereka memutuskan untuk berkumpul di satu tempat, umpamanya di Ibu Pejabat UMNO Sabah di Kota Kinabalu, langkah ini akan lebih memudahkan untuk mereka mengikuti Persidangan Agung UMNO 2025 yang diadakan pada Januari tahun depan,” katanya.
Perhimpunan Agung UMNO 2025 dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 17 Jan 2026, manakala hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag ditetapkan pada 24 Jan 2026, dan penamaan calon serta pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Jan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial