POLITIK > BERITA

NOTIS RASMI KEKOSONGAN LUAR JANGKA TIGA DUN PERLIS DISERAH KEPADA SPR

29/12/2025 02:41 PM

KANGAR, 29 Dis (Bernama) -- Notis pemakluman rasmi kekosongan luar jangka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuping, Bintong dan Guar Sanji diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Speaker DUN Perlis Rus’sele Eizan berkata notis berkenaan diserahkan di Pejabat SPR Perlis di sini kira-kira 12 tengah hari.

Beliau berkata dalam notis itu, pihaknya turut memaklumkan SPR mengenai alasan keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di ketiga-tiga DUN berkenaan untuk pertimbangan suruhanjaya tersebut.

“Saya menyerahkan semuanya kepada pertimbangan pihak SPR,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada sidang media 25 Dis lepas, Rus’sele mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka tiga kerusi DUN itu susulan keahlian ADUN Chuping Saad Seman, ADUN Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim dalam PAS terhenti serta-merta, selaras Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.

Rus’sele berkata walaupun usia DUN Perlis telah genap tiga tahun pada 18 Dis lalu, kerajaan negeri berpandangan terdapat keperluan mengadakan PRK bagi mengisi kekosongan ketiga-tiga kerusi itu demi kestabilan kerajaan negeri.

Pada 24 Dis lalu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi kenyataan media memaklumkan keahlian tiga ADUN itu terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Perikatan Nasional (PN) memenangi 14 kerusi DUN di Perlis, terdiri daripada sembilan kerusi PAS dan lima Bersatu, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi satu kerusi menerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di DUN Indera Kayangan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan