POLITIK > BERITA

PRK DUN LAMAG: MIHA FOKUS PEMBANGUNAN KAWASAN

30/12/2025 06:10 PM

KOTA KINABALU, 30 Dis (Bernama) -- Pembangunan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag menjadi keutamaan Mohd Ismail Ayob yang diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi itu Januari depan.

Aktivis belia yang lebih dikenali sebagai Miha itu berkata keanggotaan BN dalam Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan memberi ruang lebih jelas untuk melaksanakan agenda pembangunan secara bersepadu.

Beliau yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 Nov lepas, berkata pelaksanaan sebahagian manifesto yang dibawanya memerlukan kerjasama rapat semua pihak, selain mengelakkan perselisihan yang boleh merugikan rakyat.

“Sebab itu BN adalah satu wadah yang baik untuk kita melaksanakan manifesto yang memerlukan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya pada Majlis Bersama Media di sini hari ini.

Pencalonan Mohd Ismail diumumkan oleh Pengerusi BN Sabah Datuk Jafry Ariffin dengan disaksikan Setiausaha Eksekutif BN Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Hasnol Ayub.

Sementara itu, anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Mohd Naim Kurniawan Moktar, yang turut serta pada majlis itu menyatakan sokongannya kepada Mohd Ismail sebagai calon DUN Lamag.

“BN merupakan parti yang berkredibiliti dan saya yakin kalau mengemukakan calon yang berkredibiliti tinggi, gabungan tersebut akan memberi kemenangan kepada BN,” katanya.

Pada 20 Dis lepas, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Mohd Naim Kurniawan dipilih sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Kinabatangan pada PRK akan datang.

Kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kosong selepas penyandangnya Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah meninggal dunia pada 5 Dis lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Jan ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Jan.

Dalam pada itu, Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini memaklumkan parti itu belum membuat sebarang keputusan sama ada akan bertanding dalam kedua-dua PRK berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan