PETALING JAYA, 2 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan masih utuh dan stabil, dengan tumpuan utama kini adalah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata semua parti di bawah Kerajaan Perpaduan telah berikrar untuk memberikan tumpuan terhadap aspek berkenaan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang biarpun terdapat spekulasi Muafakat Nasional (MN) akan dihidupkan semula.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan gesaan itu belum berada pada tahap serius selain memaklumkan setakat ini belum menerima sebarang maklumat lanjut berhubung pembentukan MN sambil menegaskan sebarang keputusan adalah tertakluk kepada pihak berkaitan.
“Tapi yang penting sekarang, Kerajaan Perpaduan masih utuh dan semua telah berikan ikrar mereka untuk menumpukan perhatian dalam pertumbuhan ekonomi, pembelaan nasib rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang.
“Soal orang ada idaman dan igauan, soal dia bercerai-berai, itu masalah mereka…(kami) tak campur masalah Bersatu…bercerai-berai ini bukan masalah kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jumhuriah di sini, hari ini.
Sebelum ini, terdapat gesaan daripada pemimpin UMNO dan PAS supaya MN dihidupkan semula susulan perkembangan politik mutakhir di Perlis antara Bersatu dan PAS.
Terdahulu, Anwar meluangkan masa makan tengah hari bersama masyarakat setempat di Masakan Minang Azhar, Medan Selera, Taman Dato Harun, di sini.
Ketibaan Anwar pada kira-kira 12.45 tengah hari itu disambut pemilik gerai Nor Azizah Che Rose dan suami, Azhar Maddin yang telah mengusahakan perniagaan itu sejak 40 tahun lepas.
Beliau meluangkan masa kira-kira 15 minit berbual mesra dengan pengunjung sambil menikmati menu popular masakan Minang antaranya rendang daging.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial