POLITIK > BERITA

CADANGAN HAD TEMPOH JAWATAN PM SATU LANGKAH BERANI, BERTANGGUNGJAWAB - WANITA PKR

06/01/2026 02:21 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal adalah langkah berani dan bertanggungjawab ke arah membentuk budaya politik baharu yang telus, progresif serta demokratik demi kemajuan Malaysia.

Ketua Penerangan Wanita PKR Datuk Ginie Lim berkata ini menunjukkan tekad politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyegerakan pelaksanaan janji reformasi, setelah puluhan tahun berjuang di medan pembangkang, selain membuktikan kesungguhan beliau melakukan perubahan semasa memegang kuasa dan bukan selepas kehilangan kuasa.

“Dalam tempoh tiga tahun kepimpinan Anwar, Kerajaan Perpaduan berjaya mengekalkan kestabilan politik, memacu pertumbuhan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

“Wanita PKR yakin, dengan pelaksanaan reformasi institusi yang berterusan, rakyat akan terus menikmati manfaat daripada kekayaan negara yang semakin meningkat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kepimpinan Anwar juga wajar terus disokong bagi penggal seterusnya bagi memastikan agenda reformasi institusi dapat dilaksanakan secara menyeluruh sekali gus membersihkan negara daripada kebejatan dan budaya rasuah demi kebajikan rakyat serta masa depan Malaysia yang lebih cemerlang.

“Sehubungan itu, Wanita PKR menyatakan sokongan penuh kepada usaha Perdana Menteri untuk terus memimpin dan memperkukuh jentera kerajaan agar lebih mantap, berkesan dan berintegriti dalam melaksanakan dasar fiskal serta ekonomi di bawah Kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Dasar DAP Datuk Chan Foong Hin turut menyambut baik komitmen Perdana Menteri untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sekali gus mencerminkan agenda reformasi yang termaktub dalam Tawaran HARAPAN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata reformasi Perlembagaan yang penting itu berfungsi sebagai benteng bagi mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan dan memperkukuh akauntabiliti demokrasi di peringkat tertinggi kepimpinan negara.

Selain itu, Chan berkata cadangan reformasi institusi yang diumumkan Perdana Menteri termasuk pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pengenalan Akta Kebebasan Maklumat serta penubuhan Institusi Ombudsman mencerminkan kesungguhan untuk membina semula keyakinan awam selain memastikan tadbir urus Malaysia dilaksanakan dengan berintegriti, penuh akauntabiliti dan berlandaskan kerangka institusi demokratik.

Beliau berkata sepanjang tempoh tiga tahun ini, Kerajaan MADANI telah melaksanakan rundingan yang intensif, libat urus merentas kementerian serta semakan menyeluruh pertengahan penggal bagi memastikan reformasi disusun mengikut keutamaan, didorong kesepakatan dan dilaksanakan dengan berkesan.

“Reformasi tidak terjadi dalam sekelip mata. Ia memerlukan kesabaran, kestabilan dan kecekalan dalam meneruskan perjuangan.

“Setelah tiga tahun membina semula keyakinan, memulihkan fungsi institusi dan meletakkan asas yang kukuh, Malaysia kini berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengorak langkah dengan penuh keyakinan dan hala tuju yang jelas,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Chan juga berkata DAP kekal komited terhadap agenda reformasi itu dan beliau menyeru semua Ahli Parlimen serta pemegang taruh untuk mengetepikan perbezaan kepartian serta bekerjasama bagi memastikan reformasi dilaksana dengan berkesan, jujur dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat serta masa depan negara.

-- BERNAMA


 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan