POLITIK > BERITA

PRK KINABATANGAN: CALON BN BAWA AGENDA PENDIDIKAN, EKONOMI HIJAU

13/01/2026 02:14 PM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

KINABATANGAN, 13 Jan (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar, 32, tampil membawa agenda pendidikan dan pembangunan ekonomi hijau berasaskan alam sekitar sebagai teras perjuangan sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Menegaskan komitmennya bukan janji kosong, beliau beriltizam menjadi jambatan yang menyatukan aspirasi penduduk kampung, anak muda, petani, nelayan dan peniaga kecil, sambil meyakini dasar yang digerakkan oleh suara rakyat lebih ampuh dalam membentuk masa depan kawasan itu.

Bendahari Pemuda UMNO pusat itu, yang lebih mesra disapa Naim Moktar, berkata peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di daerah tersebut masih terhad dan memerlukan pendekatan lebih agresif bagi memastikan generasi muda tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

“Perkara yang terpenting sekarang untuk anak muda ialah akses untuk melanjutkan pengajian. Di Kinabatangan, kita hanya ada Pusat GiatMARA. Jadi, hasrat saya adalah membawa lebih banyak institusi pengajian tinggi ke Kinabatangan. Tidak perlu berhijrah ke Kota Kinabalu atau Kuala Lumpur untuk menimba ilmu,” katanya ketika ditemu bual oleh Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata pendidikan merupakan asas kepada mobiliti sosial dan daya saing jangka panjang masyarakat luar bandar khususnya apabila 57.17 peratus atau 27,841 pengundi di Kinabatangan terdiri daripada golongan berusia 18 hingga 39 tahun.

Mohd Kurniawan Naim, yang juga Exco Pemuda BN, turut melihat pembangunan ekonomi hijau sebagai pemacu baharu kepada pertumbuhan Parlimen Kinabatangan termasuk sektor ekopelancongan dan produk biodiversiti bernilai tinggi.

Parlimen Kinabatangan, yang berkeluasan kira-kira 18,068 kilometer persegi dengan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lamag, Kuamut dan Sukau, kaya dengan pelbagai tarikan semula jadi antaranya Gua Gomantong, Lembah Danum serta tarikan perikanan rekreasi berasaskan ikan tembaring.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan itu juga berkata pada 2025, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengiktiraf Kinabatangan sebagai tapak rizab biosfera Malaysia terbaharu.

Rizab Biosfera Kinabatangan, yang berkeluasan 413,866 hektar, merupakan habitat penting kepada 315 spesies burung, 100 spesies reptilia, 33 spesies amfibia, 127 spesies mamalia dan lebih 1,000 spesies tumbuhan vaskular.

Tapak itu turut menjadi habitat kepada spesies endemik yang jarang ditemui dan terancam seperti Orang Utan (Pongo pygmaeus), gajah Borneo (Elephas maximus borneensis), monyet belanda (Nasalis larvatus), beruang matahari (Helarctos malayanus) serta lapan spesies burung enggang Sabah.

“Tarikan utama Kinabatangan ialah kekayaan alam semula jadi termasuk Gua Gomantong yang sinonim dengan sarang burung walit dan Lembah Danum yang digelar Lost World of Sabah kerana habitatnya yang kekal terpelihara.

“Walaupun jumlah ketibaan pelancong tidak setinggi daerah lain, namun tempoh tinggal pelawat di Kinabatangan adalah lebih panjang, khususnya dari pasaran Eropah yang berminat terhadap alam sekitar dan penyelidikan,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Kurniawan Naim berkata sektor pertanian masih menjadi tulang belakang peluang pekerjaan di Kinabatangan namun potensi alam sekitar yang dimiliki turut membuka ruang dan peluang kepada kepelbagaian ekonomi dengan kemunculan aktiviti komersial berskala lebih besar.

“Apabila kita lihat sektor komersial ini semakin mendapat tempat di Kinabatangan, semakin banyak pelabur berminat untuk melabur di Kinabatangan... jadi, saya nampak itu lebih sihat kerana ia membuka satu kitaran ekonomi yang baharu di Kinabatangan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata durian merah yang dimiliki Kinabatangan berpotensi dimartabatkan sebagai komoditi premium melalui pengiktirafan varieti secara rasmi manakala industri sarang burung walit mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi sekiranya akses pasaran eksport khususnya ke China berjaya direalisasikan.

“Durian merah ini begitu sinonim dengan Kinabatangan… dan tahun ini harganya mengejutkan, mengalahkan Musang King sehingga RM60 sekilogram,” katanya.

Mohd Kurniawan Naim berkata nilai pasaran sarang burung walit di Sabah ketika ini dalam lingkungan RM2,000 hingga RM3,000 sekilogram namun berpotensi melonjak sehingga RM80,000 hingga RM90,000 sekilogram sekiranya menembusi pasaran China.

“Saya sempat berjumpa dengan pemain-pemain industri burung walit. Mereka telahpun menjalankan beberapa sesi pertemuan antara pemain industri burung walit di Sabah dengan pembeli terbesar di China. Di situ, kita dapat lihat usaha ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan ekonomi masyarakat tempatan,” katanya.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas) manakala pertandingan satu lawan satu di DUN Lamag antara Mohd Ismail Ayob (BN) dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag mempunyai 48,722 pemilih berdaftar merangkumi 48,526 pengundi biasa dan 196 polis serta pasangan sebagai pengundi awal dan sebanyak 36 pusat mengundi biasa dengan 117 saluran dan satu pusat mengundi awal dengan satu saluran akan digunakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan pada 24 Jan manakala undi awal pada 20 Jan ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan