POLITIK > BERITA

MOHD ISMAIL KOMITED BANTU PENIAGA PASAR TAMU PEKAN KOTA KINABATANGAN

14/01/2026 09:33 PM

KINABATANGAN, 14 Jan (Bernama) -- Mohd Ismail Ayob bersedia membawa cadangan meletakkan semua peniaga di bawah satu bumbung seperti disuarakan peniaga Pasar Tamu Pekan Kota Kinabatangan kepada mesyuarat ahli majlis daerah sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag itu berkata isu yang dibangkitkan peniaga tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi kesan kepada pendapatan mereka.

“Sekiranya diberi mandat, saya bersama Mohd Kurniawan Naim Moktar (calon BN bagi PRK Parlimen Kinabatangan) akan berbincang dengan pegawai daerah dan ahli jawatankuasa majlis daerah yang baharu untuk mencari jalan penyelesaian tuntas bagi menyatukan semula peniaga-peniaga ini di bawah satu bumbung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan mesra bersama peniaga Pasar Tamu Pekan Kota Kinabatangan di sini hari ini.

Sementara itu, peniaga ikan sungai, Hasbah Bayani, 43, berkata sejak tapak perniagaan dipisahkan, jumlah pelanggan di Pasar Tamu Pekan Kota Kinabatangan merosot sehingga 70 peratus manakala peniaga sayur dan buah-buahan, Suhaini Jupperi, 36, pula berpendapat pemindahan peniaga ikan, sayur dan hasil laut ke lokasi berasingan menjadi punca utama kekurangan pelanggan di tapak pasar tamu sedia ada.

PRK DUN Lamag yang menyaksikan Mohd Ismail dicabar Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan dan saingan tiga penjuru di Parlimen Kinabatangan antara Mohd Kurniawan Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas) diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan pada 24 Jan manakala pengundian awal pada 20 Jan.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan