POLITIK > BERITA

PENANGGUHAN PEMILIHAN UMNO BAGI TUMPU PRU16 - ASYRAF WAJDI

17/01/2026 02:20 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata penangguhan pemilihan UMNO adalah bagi memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau berkata parti itu juga memerlukan kekuatan dalaman bagi berdepan Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor serta PRU16.

“Fokus kita pilihan raya dulu. Kalau kita sibuk dengan pemilihan nanti, macam-macam cerita pula,”  katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO hanya akan mengadakan pemilihan parti selepas PRU16 dengan pindaan perlembagaan parti yang diluluskan Perhimpunan Agung Khas UMNO pada 2022, membolehkan perkara itu dilaksanakan.

Berdasarkan pindaan perlembagaan itu, penangguhan pemilihan tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan atau tidak lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum.

Kali terakhir pemilihan UMNO dibuat pada 2023 dengan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden  tidak dipertandingkan.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi mengesahkan UMNO belum menerima sebarang permohonan daripada bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin untuk menyertai semula parti itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan