POLITIK > BERITA

CALON BN DUN LAMAG SANTUNI PENGAMAL MEDIA DI PUSAT NADI

17/01/2026 04:01 PM

KINABATANGAN, 17 Jan (Bernama) -- Di sebalik kesibukan berkempen, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag Mohd Ismail Ayob sempat meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan pengamal media yang membuat liputan pilihan raya berkenaan.

Mohd Ismail yang lebih dikenali sebagai Miha, sempat bertanyakan khabar dan menzahirkan penghargaan kepada media ketika melawat pusat media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kota Kinabatangan, di sini atas liputan yang diberikan kepadanya sepanjang kempen yang memasuki hari kelapan hari ini.

Beliau berkata media memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat. 

"Terima kasih kepada semua rakan media yang sentiasa mengejar dan mencari maklumat sehingga pelosok Lamag dan Kinabatangan.

“Pengamal media dalam kempen pilihan raya ini terlalu banyak membantu kami (BN) dan kami ingin ucapkan jutaan terima kasih. Bagi kami banyak spekulasi yang dikeluarkan pihak lawan dalam media sosial, menerusi (laporan media) sekurang-kurangnya dapat menjawab segala persoalan dan persepsi negatif terhadap kami," katanya di sini hari ini.

Mohd Ismail juga mencadangkan Pusat NADI diperbanyak di kawasan Parlimen Kinabatangan bagi memudahkan penyampaian maklumat dan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

PRK DUN Lamag yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail dengan Mazliwati Abdul Malek daripada parti Warisan, diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas. 

Satu lagi PRK ialah Parlimen Kinabatangan yang berdepan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

DUN Lamag mempunyai 13,899 pengundi berdaftar, manakala Parlimen Kinabatangan memiliki sebanyak 48,722 pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 24 Jan, manakala 20 Jan sebagai undi awal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan