POLITIK > BERITA

PRK KINABATANGAN: NAIM MOKTAR KONGSI AMALAN KEKAL STAMINA SEPANJANG KEMPEN

19/01/2026 11:10 AM

KINABATANGAN, 19 Jan (Bernama) -- Mengelakkan pengambilan minuman berais merupakan antara amalan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar, bagi memastikan tahap staminanya kekal cergas sepanjang menempuh jadual kempen yang padat.

Beliau yang mesra disapa Naim Moktar berkata amalan ringkas itu merupakan petua yang diwarisi daripada bapanya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, selain menitikberatkan pemakanan sihat dan pengambilan makanan tambahan bagi memastikan kesihatan berada pada tahap terbaik.

“Faktor geografi Parlimen Kinabatangan yang luas menyebabkan pergerakan kempen saya bermula seawal Subuh dan hanya berpeluang berehat pada lewat malam. Dalam tempoh ini, saya hanya tidur sekitar dua hingga tiga jam sehari.

“Saya amat menjaga pemakanan, termasuk mengambil makanan tambahan asas sahaja, bagi memastikan tubuh kekal sihat sepanjang tempoh berkempen,” katanya kepada Bernama.

Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan itu berkata, memasuki minggu terakhir kempen, jadual hariannya kini semakin padat dengan pelbagai program dan beliau akan berusaha bertemu seramai mungkin pengundi di seluruh kawasan Parlimen Kinabatangan.

Mohd Kurniawan Naim berkata beliau mampu menghadiri sehingga 10 program sehari sekiranya program tersebut diadakan di lokasi yang berdekatan, namun jumlah itu berkurangan kepada tiga atau empat program sehari bagi kawasan pedalaman berikutan faktor jarak dan tempoh perjalanan yang panjang.

Semalam, Bernama turut mengikuti kempen Bendahari Pemuda UMNO Pusat itu yang sanggup meredah jalan tidak berturap dan berbatu kerikil sejauh kira-kira 60 kilometer dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda, yang mengambil masa lebih sejam dari jalan utama, semata-mata untuk bertemu penduduk pedalaman Kinabatangan di Kampung Balat dan Kampung Sangau.

Kedua-dua kampung itu terletak kira-kira 90 kilometer dari pekan Kinabatangan dan boleh diakses melalui jalan darat merentasi ladang kelapa sawit atau menggunakan bot menyusuri Sungai Kinabatangan.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

Sementara itu, PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Kedua-dua PRK diadakan susulan kematian penyandang Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai hari pengundian awal, manakala Sabtu ini sebagai hari pengundian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan