POLITIK > BERITA

NAIM MOKTAR, MOHD ISMAIL IKRAR BERI KHIDMAT TERBAIK KEPADA RAKYAT

25/01/2026 12:16 AM

KINABATANGAN, 24 Jan (Bernama) -- Mohd Kurniawan Naim Moktar yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan, menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat di kawasan itu kerana telah memilih beliau sekali gus mempertahankan kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) itu.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan itu menyifatkan mandat yang diberikan pengundi merupakan satu tanggungjawab besar dan beliau bertekad untuk memastikan iltizamnya untuk bekerja membangun masyarakat di kawasan berkenaan dilaksanakan.

Dikenali dengan nama Naim Moktar, beliau berkata penghargaan turut dirakamkan kepada Pengerusi BN dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang banyak membantu kepada kemenangannya malam ini.

“Terima kasih tidak terhingga kepada ibu saya, seluruh jentera BN dan jentera parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan Sabah. Paling saya hargai adalah seluruh masyarakat (Kinabatangan) yang telah meraikan demokrasi kita pada hari ini.

“Sudah semestinya, mandat ini datang dengan tanggungjawab besar dan janji saya pada semua adalah bekerja untuk masyarakat yang telah memilih saya. Insya-Allah, saya akan terus memberi khidmat bakti yang bermanfaat untuk rakyat di sini,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Mohd Ismail Ayob, 44, berkata kemenangannya sebagai mandat untuk membawa suara rakyat Lamag ke Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus meneruskan khidmat bakti yang sebelum ini digerakkannya melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Terima kasih kepada seluruh rakyat Lamag yang tidak henti-henti menyokong. Mudah-mudahan berakhirnya pilihan raya pada hari ini, kita satukan kembali hubungan kita dan jadikan Lamag sebagai satu daerah untuk berpadu semula dalam kalangan kita," katanya.

Pada PRK Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim menang bergaya dengan majoriti besar 14,214 undi menewaskan dua pencabarnya, iaitu Datuk Saddi Abdul Rahman daripada Parti Warisan dan calon Bebas Goldam Hamid.

Di DUN Lamag, Mohd Ismail memperoleh 5,681 majoriti undi menewaskan Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan.

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan