KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Tiada tempat dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mana-mana anggota yang enggan bekerja dan hanya gemar “merajuk” serta “merengek” sehingga mengabaikan amanah memperkukuh parti dan melaksanakan agenda perjuangan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu menegaskan bahawa mandat yang diberikan rakyat kepada kepimpinan parti, sama ada pada peringkat Persekutuan mahupun negeri, bukan untuk bermegah dengan jawatan dan kedudukan, tetapi amanah untuk bekerja keras demi rakyat dan negara.
“Kalau tidak sanggup bekerja, sila berundur. Parti ini masih banyak kerja. Kita tidak boleh membuang masa melayan keluhan yang tidak membina,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Selangor 2026 di Gombak, hari ini.
Perdana Menteri itu turut mengingatkan ahli PKR supaya tidak terjebak dengan sikap bekerja separuh jalan, sambil menegaskan bahawa budaya merengek dan terlalu banyak merajuk tanpa tindakan hanya akan melemahkan parti.
“Kerja sekerat jalan, merengek sana sini tidak akan membawa kita ke mana-mana. Sikit-sikit merengek, sikit-sikit merajuk, asyik berleter, itu bukan pandangan membina - ini bukan tempatnya.
“Kalau benar mahu berjuang, mesti ke depan selaras dengan semangat PKR - membujur lalu, melintang patah. Itu semangat kita. Itu sahaja landasan untuk membawa perubahan,” katanya.
Anwar berkata PKR memerlukan anggota yang sanggup tampil ke hadapan dengan semangat perjuangan yang jelas, selaras dengan prinsip parti untuk membawa perubahan sebenar kepada negara.
Beliau berkata dalam perjuangan politik, ujian dan cabaran tidak pernah terhenti, namun ahli PKR perlu kekal berdisiplin dan fokus kepada matlamat memperkukuh perpaduan serta menolak politik perpecahan kaum dan agama.
Beliau menegaskan PKR memilih untuk menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai landasan perjuangan dan percaya negara hanya akan selamat jika semua kekuatan rakyat dirangkul tanpa mengira kaum dan latar belakang.
“Dalam pasukan kita ada Melayu, Cina dan India. Ini kekuatan kita. PKR tidak dibina atas sentimen perkauman sempit, sebaliknya atas prinsip keadilan dan perpaduan,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh jentera parti, termasuk pada peringkat ranting dan cabang, supaya bangkit sebagai satu angkatan padu bagi mempertahankan hak dan kebenaran serta memastikan PKR terus kekal sebagai parti berbilang kaum yang memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia.
Konvensyen sehari itu turut dihadiri beberapa pemimpin PKR termasuk Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri R. Ramanan serta Setiausaha Agung Datuk Fuziah Saleh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial