POLITIK > BERITA

14 KETUA BAHAGIAN BERSATU JOHOR, RONALD KIANDEE HILANG KEPERCAYAAN TERHADAP MUHYIDDIN

10/02/2026 04:55 PM

JOHOR BAHRU, 10 Feb (Bernama) -- Sebanyak 14 ketua bahagian Bersatu Johor hari ini dilaporkan mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin, susulan kegagalan kepimpinan tertinggi menguruskan krisis dalaman parti secara berkesan serta dakwaan penyalahgunaan prosedur disiplin terhadap pimpinan utama.

Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Musa Khamis berkata tindakan Lembaga Disiplin parti terhadap Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin selain beberapa ketua bahagian dan wakil rakyat yang menyokong beliau, dilihat lebih bersifat melindungi kedudukan presiden berbanding menjaga kepentingan parti.

“Tindakan disiplin ini memberi gambaran seolah-olah digunakan sebagai alat untuk mengekalkan kuasa presiden, bukan untuk memperkukuh parti atau menyelesaikan perbezaan secara demokratik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perkembangan itu telah menjejaskan imej Bersatu di mata rakyat serta menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan ahli akar umbi selain berpotensi meretakkan hubungan strategik Bersatu dengan rakan-rakan parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, di KOTA KINABALU, Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang juga Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Sabah dalam kenyataan berkata sudah tiba masanya Muhyiddin mempertimbangkan untuk berundur daripada jawatan presiden parti.

Beliau berkata Muhyiddin wajar mengambil tindakan itu memandangkan krisis dalaman Bersatu kini dilihat semakin parah dan gagal diuruskan dengan berkesan. 

Perkara itu, katanya dapat dilihat menerusi tindakan Lembaga Disiplin parti baru-baru ini yang menghadapkan Hamzah serta wakil rakyat yang menyokongnya, atas pelbagai tuduhan sebagai satu langkah regresif.

"Tindakan ini memperlihatkan penyalahgunaan prosedur disiplin secara terdesak bagi membungkam suara pimpinan utama parti. Keadaan ini menyebabkan Bersatu pada pandangan rakyat kelihatan semakin hilang arah dan tersasar daripada matlamat perjuangan sebenar.

"Seolah-olah perjuangan parti kini hanya tertumpu kepada usaha mengekalkan kuasa Muhyiddin serta melindungi kelompok penyokong pemimpin tertentu," katanya.

Beliau mendakwa Muhyiddin kini dilihat menggunakan segala kekuatan yang ada semata-mata untuk mempertahankan kedudukannya bagi memenuhi agenda peribadi untuk kembali menjadi Perdana Menteri, termasuk menghalang laluan Hamzah untuk memimpin parti pada masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan