POLITIK > BERITA

TUNTUTAN 40 PERATUS HASIL JADI KEUTAMAAN PH SABAH - MUSTAPHA

15/02/2026 07:48 PM

KOTA KINABALU, 15 Feb (Bernama) -- Isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus menjadi keutamaan Pakatan Harapan (PH) negeri itu demi kepentingan rakyat, kata Pengerusi PH Sabah Datuk Mustapha Sakmud.

Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat PH Sabah yang dihadiri komponen DAP, Amanah dan PKR di sini hari ini.

“Saya mendengar luahan daripada pimpinan parti yang begitu prihatin tentang isu berkenaan dan meminta supaya isu ini dapat diselesaikan mengikut garis masa yang telah dibuat oleh pihak mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat itu di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi PH Sabah yang juga Pengerusi DAP negeri Datuk Phoong Jin Zhe dan Pengerusi Amanah Sabah Datuk Lahirul Latigu.

Mustapha berkata sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang ditugaskan khusus sebagai urus setia kepada Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63, beliau akan membawa keprihatinan itu ke Jawatankuasa Teknikal serta mesyuarat Kabinet akan datang.

Beliau berkata bagi memperkukuh proses perundingan, Kabinet bersetuju melantik dua menteri dari Sabah iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menganggotai Jawatankuasa Majlis Teknikal dan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di peringkat induk.

“Jadi kedua-duanya (Armizan dan Arthur) akan hadir satu jawatankuasa teknikal pada 23 Feb ini melibatkan wakil di peringkat Persekutuan dan juga wakil-wakil daripada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak. Jawatankuasa teknikal ini akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof,” katanya.

Mengulas pertanyaan media sama ada mesyuarat pada 23 Feb itu akan turut menyelesaikan isu Sabah’s ‘Lost Years’, beliau berkata perkara itu akan dibentangkan oleh satu lagi jawatankuasa yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF).

“Ada jawatankuasa terutama daripada MOF akan beri perkembangan tentang isu itu dan kita akan mendengar laporan mereka untuk perbincangan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata setakat ini dua mesyuarat peringkat jawatankuasa telah diadakan dan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Datuk Johan Mahmood Merican bagi membincangkan perkara berkaitan.

Pada 17 Okt lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula hak tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.

Sementara itu, Phoong berkata isu 40 peratus adalah agenda politik utama yang tidak boleh dipandang ringan kerana rakyat Sabah sedang menanti penyelesaiannya.

“Ini isu kritikal. Kita ada perbincangan untuk pascanilai, kita ada berbincang apa yang berlaku, apa isu penting diharapkan oleh rakyat Sabah untuk PRU (Pilihan Raya Umum), Pilihan Raya Negeri Sabah yang lepas. Satu daripadanya ialah isu 40 peratus.

“Jadi ia mesti diselesaikan, kita tahu tempoh masa kita berhadapan itu sangat pendek, kita perlu memastikan isu ini diberi keutamaan di peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan