SUKAN > BERITA

LTDL 2024: KARIER MUHAMMAD ZAWAWI KEMBALI 'BERNYAWA' SELEPAS SERTAI MPC

20/09/2024 05:08 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Pelumba berpengalaman Muhammad Zawawi Azman menganggap kariernya kembali ‘bernyawa’ menjelang perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari 29 Sept hingga 6 Okt ini.

Muhammad Zawawi sah menyertai semula pasukan lamanya, Team Sapura Cycling (TSC) yang kini dikenali Malaysia Pro Cycling Team (MPC).

“Sudah semestinya sebagai seorang pelumba tempatan lebih-lebih lagi beraksi di negara kita sendiri, saya mahu menaiki podium pada perlumbaan LTdL tahun ini. 

“Tidak kira menang mana-mana peringkat perlumbaan atau kategori pelumba terbaik Malaysia atau Asia, saya tidak akan sia-siakan peluang yang ada,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Muhammad Zawawi berkata dia dan rakan-rakan sepasukan sedang giat menjalani latihan fasa akhir selepas beraksi pada Tour Salalah di Oman baru-baru ini.

“Buat masa ini, segala persiapan kami bagi menghadapi LTdL berjalan dengan cukup baik, dan kami sudah menyertai kira-kira empat kejohanan tahun ini dan terbaharu di Oman.

“Sebelum itu, kami juga beraksi pada Tour de Ijen di Indonesia pada Julai lepas selain Tour Trans-Himalaya dan Tour of Hainan di China pada penghujung bulan lepas,” katanya.

Dalam pada itu, pelumba berusia 30 tahun itu yakin persiapan pasukan menjelang perlumbaan berkenaan kini berada pada tahap yang terbaik sambil berharap momentum positif itu dapat dikekalkan.

“Apa yang saya lihat, pasukan kami mempunyai kombinasi pelumba yang baik. Setiap pelumba sudah tahu peranan masing-masing, jadi itu akan memudahkan tugas kami nanti,” ujarnya yang bertindak sebagai pelumba super domestik.

Pada masa sama, Muhammad Zawawi berkata dia berterima kasih kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang memberikan peluang kepadanya membarisi pasukan Malaysia pada LTdL 2023.

“Pada suatu ketika, saya lihat karier saya seperti terumbang-ambing selepas pasukan Sapura (TSC) terkubur tahun lepas. Mujur saya mendapat kepercayaan jurulatih Mohd Yusof (Nasir) untuk mewakili pasukan Malaysia.

“Masa itu, saya juga dapat rasakan karier saya seolah-olah kembali ‘bernyawa’. Setidak-tidaknya saya masih mempunyai pasukan selepas Sapura (TSC) dibubarkan,” jelas pelumba kelahiran Parit Buntar, Perak itu.

Selain Muhammad Zawawi, lima lagi pelumba yang akan menggalas cabaran MPC pada LTdL kali ini adalah Ahmad Syazrin Awang Ilah, Zulfikri Zulkifli, Muhammad Fahmi Khairul, Mohammad Izzat Hilmi Abdul Halil dan Muhammad Syawal Mazlin.

Untuk rekod, pasukan yang diasaskan oleh bekas pelumba negara Sayuti Zahit itu mencipta sensasi apabila muncul juara keseluruhan (Jersi Kuning) dua edisi berturut-turut iaitu LTdL 2019 dan 2020 selain menyambar Jersi Merah (2020).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan