SUKAN > BERITA

NAFUZI BANGGA DENGAN SIKAP PEMAINNYA BIARPUN MENGHADAPI MASALAH DALAMAN

21/09/2024 08:55 AM

ALOR SETAR, 21 Sept (Bernama) -- Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC Mohd Nafuzi Zain berkata beliau berbangga dengan sikap profesionalisme tinggi yang ditunjukkan oleh pemainnya ketika beraksi cemerlang menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Aman, di sini, malam tadi.

Menurut beliau walaupun pasukan menghadapi masalah dalaman, kesungguhan dan komitmen pemain sepanjang perlawanan membuktikan kasih sayang mereka terhadap pasukan, penyokong, dan negeri Kedah.

“Satu mata yang berharga, dan terima kasih kepada pemain yang membantu saya dalam perlawanan ini. Komitmen dan kesungguhan pemain adalah luar biasa, walaupun mereka tidak dapat bermain seperti sebelum ini kerana keadaan fizikal yang tidak begitu cergas.

“Hanya dua sesi latihan diadakan sebelum mereka boikot latihan, dan empat hari sebelum perlawanan ini, kami berlatih dalam keadaan hujan dengan tahap kecergasan pemain yang rendah,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, yang menyaksikan KDA FC dan Sri Pahang FC berkongsi satu mata dengan keputusan seri 2-2.

Dalam pada itu, Mohd Nafuzi merayu kepada peminat Hijau Kuning untuk terus memberikan sokongan padu dan menghargai pengorbanan pasukan yang kini berdepan isu dalaman yang belum diselesaikan.

Sementara itu, Mohd Nafuzi berkata bahawa KDA FC tidak akan mendaftarkan pemain baharu pada sesi jendela perpindahan kali ini dan akan memperkuatkan pasukan dengan pemain sedia ada untuk mengharungi baki saingan liga.

“Sejujurnya, kami tidak boleh mendaftar pemain baharu kerana masalah kami belum selesai. Kami cukup dengan pemain yang ada sekarang untuk membuat perubahan. Untuk mendapatkan pemain baharu, itu memang tidak dapat dilakukan, sudah tertutup,” katanya.

Ketua jurulatih Sri Pahang Fandi Ahmad, pula berkata bahawa beliau menyedari permasalahan yang dihadapi pasukan Kedah dan merasakan anak buahnya mampu memenangi perlawanan tersebut, tetapi Kedah memberikan tentangan hebat sehingga berjaya mengikat keputusan malam tadi.

“Bagi saya keputusan itu adil buat kedua-dua pasukan, mereka (Kedah) ada peluang dan kami pun ada peluang menjaringkan gol, masing-masing mempunyai peluang dan keputusan 2-2 kami rasa adil buat kami,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan