SUKAN > BERITA

PARA SUKMA: TIGA BERADIK NAIK PODIUM DI KOLAM RENANG

23/09/2024 06:12 PM

KUCHING, 23 Sept (Bernama) -- Tiga beradik lelaki dari Kapit, Sarawak menyumbang pingat buat kontinjen tuan rumah menerusi acara renang pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini hari ini.

Keputusan Donny, Julius dan Stanley Jaranding yang sebelum ini berkecimpung dalam olahraga untuk menceburi sukan akuatik pada sekitar 2017 ternyata membawa tuah buat mereka.

Abang sulung, Donny, 44, yang dilahirkan dengan masalah penglihatan tidak dapat menahan sebak ketika majlis penyampaian pingat pada penampilan terakhirnya di temasya dwitahunan itu.

“Saya sangat gembira (menang) sebab ini SUKMA terakhir saya (dan) lagi gembira sebab dua adik saya pun dapat pingat. 

“Terima kasih kepada jurulatih, keluarga dan rakan yang sentiasa memberikan sokongan. Saya hanya buat yang terbaik untuk Sarawak,” katanya yang kepada pemberita di sini hari ini.

Donny membawa pulang pingat emas dalam acara 100 meter (m) gaya bebas lelaki S13 (kecacatan penglihatan) dan 100m kuak lentang S13.  

Sementara itu, Julius Jaranding, 38, berkata bertanding dalam satu kejohanan bersama adik-beradiknya mempunyai keseronokan tersendiri apabila masing-masing dapat saling menguji kekuatan. 

Beliau yang meraih perak dalam 100m gaya bebas S12 (kecacatan penglihatan) mengakui agak terkilan apabila tidak dapat memastikan lagu ‘Ibu Pertiwiku’ berkumandang namun akan cuba melakukan yang terbaik dalam baki acara selepas ini.   

“Dulu masa peringkat sekolah saya pernah sertai olahraga namun lepas itu memang terus ke renang, sekarang sudah jadi sepenuh masa (dan) kemenangan ini untuk ibu bapa yang sepanjang masa memberikan sokongan,” katanya. 

Dalam pada itu, Stanley Jaranding, 40, memaklumkan beliau pernah bergiat aktif dalam olahraga namun kemudiannya memilih acara kolam renang apabila merasakan ia sebati dengan dirinya dan boleh dijadikan sebagai lubuk rezeki. 

Stanley merangkul gangsa dalam 100m gaya bebas S12.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan