SUKAN > BERITA

PARA SUKMA: TIGA PESANAN JUARA DUNIA PEGANGAN HIDUP MUHAMMAD ADIB

24/09/2024 07:18 PM

KUCHING, 24 Sept (Bernama) -- ‘Jaga solat, jangan lawan ibu dan kekal berdisiplin’.

Itu tiga pesanan diberikan oleh juara bertahan dunia lompat jauh T37 (kecacatan fizikal) Muhammad Nazmi Nasri kepada atlet Johor Muhammad Adib Siding yang menjadi pegangannya untuk berjaya dalam kehidupan.

Muhammad Adib berkata panduan berharga diberikan atlet kebangsaan itu sememangnya melonjakkan motivasinya sehingga berjaya merangkul gangsa 400 meter (m) lelaki T20 (kecacatan intelektual) dengan catatan 52.71 saat (s) pada hari kedua saingan olahraga temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 di Stadium Sarawak di sini hari ini.

Atlet kelahiran Pontian itu berkata beliau beruntung dapat mengenali Muhammad Nazmi sejak berusia 10 tahun sewaktu bertanding dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) dengan Paralimpian negara itu banyak memberi nasihat setiap kali bertemu di Johor.

“Muhammad Nazmi pun tinggal sebelah kampung saya sahaja, jika dia balik Johor, saya akan ambil peluang bertemunya dan minta nasihat darinya bagaimana mahu kekal konsisten,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat di sini.

Muhammad Adib berkata beliau juga amat mengagumi dan sering merujuk teknik larian pemenang emas 400m lelaki T20 pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022 Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi sebagai panduan ketika berlari di atas trek.

Dalam pada itu, remaja berusia 17 tahun itu mahu mendedikasikan pencapaian membanggakan pada penampilan sulung di Para SUKMA kepada ibunya Siti Muslihat Ahmad, 57, yang menghabiskan ratusan ringgit dan sanggup berulang alik dari Pontian untuk menghantarnya ke sesi latihan setiap minggu bersama skuad olahraga para negerinya di Johor Bahru sebelum ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Tanjung yang mengalami kesukaran membaca berkata darah atlet mengalir dalam dirinya sejak kecil lagi selepas ibunya dan tiga adik beradik lain turut menyertai acara larian di alam persekolahan.

Anak bongsu dari enam beradik itu pada masa sama tekad untuk memperbaiki prestasi dengan tampil lebih garang pada edisi seterusnya di Selangor.

Wakil Sabah, Mohamad Razy Hafizul Mohamad merangkul emas dengan 51.67s dan perak diraih atlet tuan rumah Muhammad Asyraaf Razali yang merekodkan 51.79s.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan