SUKAN > BERITA

PARA SUKMA: NOOR IMANINA MAKIN GARANG, IMPI KE LA28

25/09/2024 03:50 PM

KUCHING, 25 Sept (Bernama) -- Reputasi atlet Perlis Noor Imanina Idris masih lagi sukar digugat mana-mana pesaingnya apabila mempertahankan emas lontar peluru wanita F20 (kecacatan intelektual) buat kali ketiga berturut-turut pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 di sini hari ini.

Lebih mengagumkan, atlet kebangsaan itu tampil garang melakukan lontaran terbaik 11.10 meter (m) pada percubaan ketiga bagi memadam rekod temasya miliknya (10.31m) pada edisi lepas dan rekod peribadi (11.08m) sewaktu menyumbang gangsa buat negara pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di China.

Beliau menumpaskan Charmian Sikajat dari Sabah yang melakukan lontaran sejauh 10.18m untuk pingat perak dan Siti Noraidah Suherman membawa pulang gangsa untuk Melaka (9.63m).

Noor Imanina berkata beliau bangga dapat mengekalkan konsistensi dibawa dari Hangzhou untuk sekali lagi menyumbang emas buat negeri paling utara di Semenanjung Malaysia.

“Saya memang sasar pergi ke Sarawak untuk pecah rekod peribadi dan akhirnya tercapai. Sebelum ini memang susah buat saya cecah 11m ke atas, namun bermula di Hangzhou saya dapat rentak dan kekalkannya ke Sarawak,” katanya ketika ditemui Bernama sejurus selepas aksinya di Stadium Sarawak di sini.

Pemenang perak Sukan Para ASEAN 2023 di Kemboja berkata beliau akan terus berusaha keras dan memperbaiki teknik lontarannya bagi membawa pulang emas pada edisi seterusnya di Thailand selain mengimpikan peluang beraksi pada Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles (LA28).

Ditanya bagaimana timbul minat menceburkan diri dalam sukan olahraga, atlet berusia 26 tahun yang pernah bersaing dalam SUKMA 2016 dan 2018 itu berkata segala-galanya bermula apabila gemar membaling batu ke dalam sungai di kampung halamannya.

Sejak dari itu, beliau melihat acara lontar peluru amat sebati dengan dirinya dan mendapat peluang berlatih di bawah Majlis Sukan Negeri Perlis pada usia 13 tahun sehingga berjaya menjadi atlet sandaran mereka pada temasya dwitahunan berkenaan.

Sementara itu, wakil tuan rumah Jamal Nasir Zulkiplis yang mengungguli acara rejam lembing lelaki F55 (kecacatan fizikal) mencatatkan 21.09m untuk mengatasi rekod terdahulu milik Mohd Shaari Mohd Jaafar dari Melaka (20.97m) pada edisi lepas.

Pingat perak dimenangi Muhammad Amirul Alif Abdul Raof dari Selangor (19.33m) dan Samri Butak pula meraih gangsa untuk Sabah (19.04m).

Wakil kerdil dari Sabah, Fredechi Asri pula bukan sahaja menyambar emas rejam lembing wanita F40 (kecacatan fizikal) malah turut memecahkan rekod temasya selama enam tahun dipegang Cordiria Nyoted dari Sarawak, 8.54m dengan catatan baharu 11.58m.

Mary Bada dari Sarawak membawa pulang perak (10.89m) dan gangsa menjadi milik atlet Melaka, Noor Zaidah Mazlan (10.19m).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan