SUKAN > BERITA

CARR IDAM PENAMAT INDAH, MAHU PERTAHAN GELARAN JUARA KESELURUHAN

28/09/2024 06:12 PM

LANGKAWI, 28 Sept (Bernama) -- Pelumba EF Education-Easypost Simon Carr mengidamkan penamat 'indah' musim ini dengan mempertahankan kejuaraan pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang akan memulakan saingan peringkat pertama esok.

Carr, 26, yang muncul atlet berbasikal pertama British memenangi gelaran Juara Keseluruhan (Jersi Hijau) pada edisi 2023 berkata berkata biarpun peluang kali ini dilihat lebih seimbang bagi semua pelumba ia sama sekali tidak mendatangkan kegusaran buat dirinya yang tampil dengan prestasi terbaik.

“Dalam beberapa pencapaian terbaik saya, satu daripadanya ialah Juara Keseluruhan yang saya menangi tahun lepas. Ia adalah penamat musim terbaik.

“Situasi saya kini sama dengan tahun lepas dan saya datang dengan cita-cita yang sama untuk menjadi Juara Keseluruhan," katanya dalam sidang media praperlumbaan LTdL di sini hari ini.

Carr bagaimanapun mengingatkan dirinya supaya tidak memandang rendah keupayaan pelumba lain dalam perebutan Jersi Hijau itu.

“Banyak pasukan bagus bertanding kali ini dan semuanya bersemangat untuk berlumba, itu perkara yang positif. 

“Laluan agak berbeza berbanding tahun lepas di mana Genting Highlands menjadi penentu, namun tahun ini lebih mudah. Tetapi mungkin lebih sukar untuk diramalkan, mungkin bukan pendaki sebenar juga boleh memenangi Juara Keseluruhan,” katanya.

Pada edisi 2023 itu, Carr turut mencetak sejarah peribadi pada penampilan sulung LTdL apabila menjadi pelumba pertama menawan peringkat kelima dari Slim River ke Genting Highlands.

Perlumbaan peringkat pertama LTdL 2024 dari Pekan Kuah mengelilingi Pulau Langkawi sejauh 96.5 kilometer (km) akan berlangsung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan