SUKAN > BERITA

UTMB PILIH TAIPING LOKASI LARIAN DENAI SULUNG DI MALAYSIA

28/09/2024 06:22 PM

TAIPING, 28 Sept (Bernama) -- Terkenal dengan acara larian denai ultra terkemuka dan berprestij di dunia, Malaysia Ultra-Trail oleh Ultra-Trail du Mont-Blanc (UTMB) buat julung kalinya akan dianjurkan di Malaysia pada 15 hingga 17 Nov ini, di Taiping. 

Perlumbaan itu bakal menyaksikan penyertaan seramai lebih 2,500 peserta tempatan dan antarabangsa dari 60 negara antaranya Singapura, China, Filipina, Indonesia, Thailand, Vietnam, Jepun, Perancis, Britain, Jerman, India, Australia, Taiwan dan Amerika Syarikat.  

Pengarah Perlumbaan Malaysia Ultra-Trail Ewegene Tan berkata terdapat lima kategori jarak perlumbaan iaitu 100 kilometer (km), 50 km, 25 km, 13km dan Vertical Kilometre. 

"Malaysia Ultra-Trail oleh UTMB telah menjadi satu daripada 43 acara dalam kalendar Siri Dunia UTMB 2024 dan berkedudukan ke-23 dunia serta kelima di Asia selepas China, Jepun, Thailand dan Hong Kong. 

"Bagi peminat larian ultra UTMB bukan sesuatu yang asing kerana setiap kejayaan larian dalam siri yang mempunyai jenama UTMB menjadi perhatian pelari ultra mengumpul mata ke acara dunia utama di Chamonix, Perancis," katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Taiping dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Teh Kok Lim.

Ewegene berkata perlumbaan itu juga bakal memberikan pengalaman baharu kepada pelari, menelusuri laluan di rizab hutan dan hutan simpan dara yang terhad aksesnya. 

"Pelari akan merentasi pelbagai jenis denai yang unik, dari landasan kereta api lama ke denai ladang, trek pemanduan pacuan empat roda, termasuk laluan hutan yang lasak selain berpusat di bandar Taiping yang penuh dengan sejarah," katanya. 

Sementara itu Wong menzahirkan keterujaannya Taiping telah terpilih menjadi tuan rumah Malaysia Ultra-Trail oleh UTMB terutamanya sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

"Pemilihan Taiping sebagai tuan rumah bagi penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa merupakan tanda pengiktirafan terhadap komitmen kerajaan pusat dan negeri khususnya yang sentiasa menerajui pembangunan sektor pelancongan sehingga berjaya meletakkan negeri itu sebagai destinasi penganjuran kejohanan berprestij yang terkenal di persada dunia.

"Dengan adanya penganjuran Malaysia Ultra-Trail oleh UTMB di Taiping, ia mampu memperkuat TMP 2024 selain turut mampu memberikan pulangan ekonomi yang lebih baik untuk negara," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan