SUKAN > BERITA

STEINBRUCKNER LEPASKAN JAWATAN KETUA JURULATIH TFC

01/10/2024 07:42 PM

KUALA NERUS, 1 Okt (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) mengesahkan ketua jurulatihnya Tomislav Steinbruckner telah melepaskan jawatan yang disandangkan sejak musim lepas, berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu diumumkan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) dalam kenyataan dimuat naik di laman Facebook TFC hari ini.

Menurut kenyataan itu, penamatan kontrak jurulatih dari Croatia berusia 58 tahun berkenaan adalah atas persetujuan bersama dengan majikannya.

Turut mengikut jejak bekas Pengarah Teknikal TFCSB musim 2022 itu ialah penolong jurulatih Ivica Vranjes dan jurulatih kecergasan Hrvoje Bradasic.

“Dalam perbincangan, Steinbruckner telah menyatakan persetujuan dan berharap kelab dapat bergerak dengan baik dan lebih berjaya pada masa depan.

“Langkah ini diambil dan diputuskan secara bersama setelah melihat prestasi semasa kelab. Ia juga bagi memelihara hubungan baik antara pemain, penyokong dan imej kelab secara keseluruhannya,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, tugas ketua jurulatih berkenaan akan diambil alih oleh Penolong Ketua Jurulatih Badrul Afzan Razali dan Hairudin Omar untuk sementara waktu.

Steinbruckner menjadi sasaran kemarahan penyokong pasukan gergasi Pantai Timur selepas tewas dalam lima perlawanan berturut-turut dan terbaru ketika menentang Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Sabtu lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan