SUKAN > BERITA

TFCSB TAK RANCANG AMBIL JURULATIH BAHARU

03/10/2024 11:36 AM

KUALA NERUS, 3 Okt (Bernama) -- Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) tidak berhasrat melantik ketua jurulatih baharu bagi menggantikan Tomislav Steinbruckner yang meletak jawatan dua hari lepas.

Pengerusi Lembaga Pengarahnya Hishamuddin Abdul Karim berkata pihaknya telah melantik penolong ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali untuk memangku tugas tersebut sehingga tamat musim iaitu pertengahan tahun depan.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata pihaknya menaruh sepenuh kepercayaan kepada Badrul Afzan untuk membawa pasukan itu ke tahap yang lebih baik pada musim ini.

"TFC tidak merancang untuk membuka permohonan kepada mana-mana jurulatih yang berminat mengisi kekosongan itu setakat ini," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini semalam.

Sementara itu Hishamuddin berkata Badrul Afzan akan diberi peluang untuk menunjukkan kemampuan memimpin skuad hitam putih itu, namun pihak kelab tidak meletakkan sasaran tertentu bagi mengelak tekanan kepada pemangku ketua jurulatih.

"Steinbruckner meletak jawatan selepas perbincangan secara baik dengan pihak pengurusan selepas kekalahan 0-1 di tangan Selangor, Sabtu lepas. Tidak timbul isu konflik atau perpecahan dalam pasukan, sebaliknya saya menuntut pemain supaya bangkit melawan PDRM FC malam esok," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan