SUKAN > BERITA

BADRUL AFZAN TEKAD MAHU TAMATKAN KEMARAU KEMENANGAN TFC

03/10/2024 02:32 PM

KUALA NERUS, 3 Okt (Bernama) -- Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali berazam menamatkan kemarau kemenangan pada perlawanan Liga Super menentang PDRM FC malam esok.

Beliau yang baru sahaja dilantik menggalas tanggungjawab itu Selasa lepas juga mahu memanfaatkan peluang yang diberikan untuk membuktikan kemampuannya memimpin skuad Penyu.

Badrul Afzan berkata walaupun motivasi pemain sedikit menurun selepas ketiadaan bekas ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner, beliau tetap optimis pasukannya mampu meraih kemenangan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) nanti.

"Motivasi pemain sedikit menurun dengan pemergian jurulatih Tomi, tetapi saya sudah mengingatkan mereka untuk kembali fokus.

"Mungkin tidak banyak perubahan dalam kesebelasan utama...cuma satu atau dua posisi penting. Saya sangat berharap skuad Penyu dapat kembali ke landasan kemenangan bertemu skuad The Cops nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Badrul Afzan berkata walaupun pihak pengurusan kelab tidak meletakkan sasaran tertentu, namun bekas pemain tengah Terengganu itu tetap mahu menghadiahkan kemenangan buat pasukan pada perlawanan itu nanti.

"Jurulatih Tomi ada tinggalkan pesanan supaya saya dan pasukan terus berusaha gigih, naikkan kembali pasukan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan