SUKAN > BERITA

MULYO, JONASSEN ANTARA CALON KETUA JURULATIH PERSEORANGAN LELAKI - REXY

04/10/2024 02:53 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Mulyo Handoyo dari Indonesia dan Kenneth Jonassen dari Denmark adalah antara calon dalam radar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mengisi jawatan ketua jurulatih perseorangan lelaki. 

Perkara itu dikongsikan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky yang turut memaklumkan sesiapa pun jurulatih terpilih akan menandatangani kontrak hingga Sukan Olimpik 2028.

“Ada beberapa calon sudah saya serahkan kepada pengurusan untuk dibincangkan dengan mereka. Kita tidak boleh cakap (Mulyo dan Kenneth) nama yang pasti (jurulatih) namun dalam pertimbangan. 

“Kita mahu secepat mungkin tetapi ia terletak pada individu terpilih tapi paling lambat pada 1 Dis ini atau mungkin tahun depan (jurulatih baharu masuk) sebab tahun depan kita ada Terbuka Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di ABM, Bukit Kiara hari ini. 

Rexy berkata antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) jurulatih baharu kelak adalah melahirkan tiga atau empat lagi pemain perseorangan lelaki yang berkualiti untuk menjadi penyumbang mata dalam saingan Piala Thomas, Sukan Komanwel, Sukan Asia, Sukan SEA dan beberapa kejohanan besar lain.

Beliau juga berharap jurulatih terpilih kelak mampu membimbing pemain untuk meraih gelaran lebih tinggi dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) seperti kejohanan berstatus Super 500 atau  750.

“Calon kemungkinan memainkan dua peranan (selaku jurulatih perseorangan lelaki dan wanita) atau mungkin satu (berasingan) seperti jurulatih perseorangan lelaki dan wanita,” katanya. 

BAM sebelum ini mengumumkan berlaku penstrukturkan semula barisan kejurulatihannya termasuk tidak menyambung khidmat jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan yang sudah bersama BAM sejak 2009 berkuatkuasa 31 Okt ini. 

Penstrukturan semula dibuat BAM dilihat masih belum lengkap dengan tiga lagi posisi iaitu ketua jurulatih perseorangan lelaki, wanita dan beregu wanita masih kosong.

Sementara itu, Rexy berkata pertukaran Hoon Thien How yang beralih daripada mengendalikan beregu wanita senior kepada beregu lelaki remaja bertujuan memanfaatkan kepakarannya dalam memperkukuhkan sektor pelapis badminton negara.

Beliau berkata semua pihak perlu memahami sektor remaja tidak boleh dinilai berdasarkan prestasi sahaja sebaliknya lebih kepada melahirkan pemain berkualiti.

“Kita beri peluang kepada jurulatih berpengalaman untuk membentuk pemain remaja, kerana kalau hanya fikir peringkat atas sahaja, satu hari nanti kita jadi macam bom jangka apabila sudah tiada pemain di peringkat bawah (remaja),’ katanya.

Mulyo pernah membimbing Taufik Hidayat hingga meraih pingat emas perseorangan lelaki pada Sukan Olimpik 2004 dan gelaran dunia 2005 manakala Jonassen pernah membimbing Viktor Axelsen meraih emas Olimpik pertamanya di Tokyo pada 2021, selain turut membantu pemain Denmark itu memenangi gelaran dunia 2017.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan