SUKAN > BERITA

MUHAIZAR KEMBALI DI PUNCAK, RANGKUL GELARAN KEENAM KLSCM

06/10/2024 01:19 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Pemenang dua pingat gangsa Sukan SEA Muhaizar Mohamad kembali di puncak, selepas menjuarai kategori maraton penuh terbuka lelaki buat kali keenam pada Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2024 di sini hari ini.

Muhaizar menamatkan larian sejauh 42 kilometer (km) dengan catatan masa 2 jam 41 minit 17 saat untuk melepasi garisan penamat di Dataran Merdeka.

Pelari berusia 39 tahun yang menjuarai kategori berkenaan sebanyak lima kali berturut-turut dari 2015 hingga 2019, mengetepikan cabaran Muhamad Haziq Hamzah di tempat kedua dengan catatan masa 2:41.38s, manakala Yeow Ni Jia di kedudukan ketiga (2:41.39s).

Muhaizar berkata kejayaannya kembali di puncak adalah hasil kerja keras semasa latihan, merampas semula gelaran itu daripada juara bertahan S. Poo Vasanthan, yang tidak menyertai perlumbaan tahun ini kerana mengalami kecederaan.

“Tahun ini, saya membuat persediaan yang lebih berbanding edisi lepas kerana ketika itu fokus saya lebih kepada kerja hakiki. Saya memang sasar nak menang semula. Syukur Alhamdulillah saya dapat menjadi johan semula,” katanya kepada media selepas perlumbaan itu.

Dalam pada itu, anggota polis wanita Noor Amelia Musa menebus kekecewaan sebagai naib juara tahun lepas apabila menjuarai kategori terbuka wanita Malaysia buat kali kedua, selepas melakar kemenangan pertamanya pada edisi 2022 dengan catatan masa 3:09.44s.

Noor Amelia, 38, berpuas hati selepas berjaya melepasi garisan penamat di bawah sasaran 3:10.00s pada edisi tahun ini.

Sementara itu, pelari Kenya mendominasi podium bagi kedua-dua kategori terbuka lelaki dan wanita.

Walaupun baru pertama kali bertanding di luar negara, Vincent Kiprono tidak menunggu lama untuk memberi impak, mendahului carta dengan catatan masa 2:18:16, meninggalkan dua rakan senegara John Nzau Mwangangi (2:18:22) dan Kiprop Tonui (2:18:25) masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Sebaliknya, Beatrice Jelagat Cherop berjaya mempertahankan gelaran terbuka wanita dengan mencatat masa 2:33:45, diikuti oleh Sheila Jepkosgei Chesang (2:37:16) dan Truphena Chepchirchir di tempat ketiga (2:39:46).

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh melepaskan peserta dalam kategori separuh maraton, yang turut disertai oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

KLSCM 2024 yang berlangsung selama dua hari mencatatkan rekod baharu tahun ini, dengan penyertaan seramai 42,000 peserta, mengatasi jumlah 40,000 tahun lepas dan menampilkan lebih 2,500 pelari dari 45 negara, peningkatan sebanyak 72 peratus berbanding tahun 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan