SUKAN > BERITA

JDT RAIH KEJUARAAN BERGANDA, JULANG PIALA FUTSAL MALAYSIA 2024

06/10/2024 09:21 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kejuaraan berganda musim ini apabila muncul juara Piala Futsal Malaysia 2024 selepas menewaskan Selangor 3-2 dalam aksi final di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini.

Skuad kendalian Juan Antonio Miguel Garcia bermula garang apabila membuka tirai jaringan di awal perlawanan menerusi pemain importnya Bruno Taffy Nogueira Aguiar.

Tersentak dengan gol itu, Selangor memperkemaskan corak permainan dan mula mengatur beberapa percubaan bahaya ke gawang JDT namun gagal untuk meraih sebarang jaringan.

Benteng JDT akhirnya berjaya ditembusi sebelum tamat perlawanan separuh masa pertama menerusi pemain tengah Selangor, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Sejurus separuh masa kedua bermula, Mohd Firdaus Ambia meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-27 sebelum Mohd Azwan Ismail menambah jaringan ketiga pada minit ke-33.

Gergasi Merah cuba merapatkan jurang menerusi Muhammad Aidil Shahril Rosli dua minit kemudian namun jaringan itu tidak cukup untuk menghalang JDT daripada menjulang kejuaraan pertama Piala Futsal Malaysia dengan kemenangan 3-2.

JDT sebelum ini mengesahkan kejuaraan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 pada September lepas.

“Ia merupakan perlawanan yang baik terutama ketika berdepan pasukan kuat. Saya gembira dengan kemenangan hari ini. 

“Kita bermula tahun lepas tapi pemain telah menunjukkan peningkatan dari segi fizikal dan taktikal,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Selangor Edgar Eder gembira dengan aksi yang dipamerkan anak buahnya meskipun gagal memenangi perlawanan itu.

Beliau berkata pemain mempamerkan aksi terbaik mereka namun tidak cukup sempurna untuk menewaskan JDT.

“Kita beraksi dengan baik hari ini. Walaupun tidak sempurna tetapi ia amat mengagumkan. Kita akan analisis kelemahan pasukan untuk saingan seterusnya,” katanya.

Pahang Rangers menewaskan Kuala Lumpur City 4-2 untuk meraih tempat ketiga kejohanan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan