SUKAN > BERITA

GP MALAYSIA: SIC SAHKAN PELUMBA NEGARA BERAKSI TIKET 'WILDCARD'

15/10/2024 06:47 PM

SEPANG, 15 Okt (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Azhan Shafriman Hanif mengesahkan pelumba negara akan beraksi menerusi tiket peluang khas (wildcard) dalam Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix (GP) Malaysia pada 1 hingga 3 Nov ini.

Beliau berkata butiran mengenai jumlah pelumba dan kelas bakal disertai akan diumumkan dalam masa terdekat oleh pihak penaja korporat.

“Saya difahamkan pelumba terlibat sedang membuat persiapan, insya-Allah seawal minggu depan atau dua minggu lagi akan ada pengumuman. Bukan dalam kelas utama (MotoGP), mungkin dalam kelas Moto2 atau Moto3,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas pengumuman kerjasama strategik sebanyak RM500,000 bersama Tourism Selangor bagi GP Malaysia kali ini sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

Pada tahun lepas, Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar diberikan tiket peluang khas mewakili pasukan Petronas MIE Racing RW manakala Muhammad Syarifuddin Azman atau Damok berlumba sepenuh musim bersama pasukan MT Helmets-MSi.

Ditanya mengenai penjualan tiket, Azhan Shafriman berkata setakat ini sebanyak 70 hingga 80 peratus tiket sudah dijual, dengan pihaknya akan meneruskan usaha mencapai sasaran 200,000 penonton untuk hujung minggu perlumbaankali ini berbanding 182,912 pada 2023. 

Sementara itu, beliau berkata SIC menjalankan penambahbaikan di Main Grandstand dan North Paddock dengan kos lebih kurang RM12 juta menerusi geran daripada kerajaan pusat. 

“Ia termasuk memperbaiki sistem pembetungan kita kerana perpaipan itu tak pernah tukar sejak 1999. 

“Bagi trek, kita hanya buat Misano kerb di turn 15 untuk mematuhi syarat perlumbaan diperkenalkan bagi menjaga had trek. Kita akan tinggikan kerb ke tahap tertentu, supaya motosikal tidak melepasi kerb tersebut,” katanya. 

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Datuk Ng Suee Lim berkata beliau akan membawa harapan penonton agar diberikan pelepasan cukai hiburan 25 peratus untuk tiket MotoGP kepada pertimbangan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari. 

“Cukai ini menjadi antara hasil untuk kerajaan negeri. Namun, kita akan mempertimbangkan perkara ini,” katanya. 

Beliau juga yakin kempen Tahun Melawat Selangor 2025 yang bakal dilancarkan pada Disember ini, mampu menarik lapan juta pelancong, termasuk 2.4 juta pelancong antarabangsa ke negeri itu dengan jangkaan pendapatan RM11.2 bilion. 

GP Malaysia 2024 menjadi antara acara promosi utama untuk kempen berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan