SUKAN > BERITA

PEMAIN PROFESIONAL WANITA MOHON BANTUAN KEWANGAN JALANI PEMBEDAHAN LUTUT

22/10/2024 01:39 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Pemain beregu wanita profesional negara Ng Qi Xuan yang mengalami kecederaan lutut pada kejohanan Malaysia Super 100 minggu lepas, memohon bantuan kewangan bagi menjalani pembedahan.

Menerusi hantaran di laman Instagramnya, pemain berusia 25 tahun itu berkata beliau memerlukan kira-kira RM25,000 hingga RM30,000 untuk pembedahan dan bil hospital, kerana polisi insuransnya tidak menanggung kos berkenaan.

Qi Xuan mengakui amat terkejut selepas menjalani imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) yang menunjukkan beliau mengalami koyak Ligamen Krusiat Anterior (ACL), Ligamen Krusiat Belakang (PCL), cedera Ligamen Kolateral Lateral (LCL) dan sedikit keretakan pada tulang belakang.

“Ibu bapa saya merupakan pesara dan saya tidak boleh menjana pendapatan dengan melatih pelajar disebabkan kecederaan ini. Saya dengan rendah hati mengharapkan bantuan supaya dapat bangkit semula selepas pembedahan nanti,” katanya menerusi hantaran berkenaan.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman Instagram Qi Xuan.

Sementara itu, Qi Xuan berterima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana sudi menawarkan bantuan untuk beliau menjalani rawatan pemulihan walaupun berstatus pemain profesional.

Qi Xuan dilaporkan mengalami kecederaan lutut ketika cuba melakukan pukulan smash menyebabkan beliau dan pasangannya Yap Rui Chen terpaksa menarik diri ketika mereka hanya satu mata untuk meriah kemenangan.

Qi Xuan-Rui Chen mendahului Teoh Mei Xing-Go Pei Kee 22-20, 20-18 pada aksi separuh akhir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan