SUKAN > BERITA

RODTANG TAMPIL PADA KEJOHANAN GRAND FINAL KUDA MERAH INTERNANTIONAL MUAYTHAI CHALLENGE NOV INI

24/10/2024 08:08 PM

SHAH ALAM, 24 Okt (Bernama) -- Kejohanan Grand Final Kuda Merah International Muaythai Challenge 2024 edisi ke-75 tampil dengan kelainan dengan kehadiran juara One Championship Rodtang Jitmuangnon sebagai tetamu jemputan di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur pada 16-17hb Nov ini. 

Presiden Kelab Muay Thai Kuda Merah Kuala Lumpur Rosli Yaacob berkata kejohanan berprestij anjuran Kelab Muaythai Kuda Merah Kuala Lumpur bersama Tourism Malaysia, turut bakal menyaksikan seramai 26 peninju terbaik dari dalam dan luar negara akan berentap merebut gelaran King Of The Ring.

“Beliau (Rodtang) turut menghantar dua peninju untuk berlawan iaitu adik lelakinya Nong Ice dan adik ipar Zaidania Looksaikongdin. Pihak penganjur turut mengadakan sesi bertemu dengan beliau pada 16 Nov jam 3 hingga 4 petang. 

“Kami menyasarkan kehadiran lebih 6,000 penonton daripada dalam dan luar negara bagi memenuhi ruangan Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur, sekali gus menjadi sebuah acara yang hebat mengisi Kalender Hari Wilayah Persekutuan 2024,” katanya pada sidang media kejohanan di sini hari ini.

Rosli berkata beberapa perlawanan menjadi tumpuan iaitu peninju dari Phet Muaythai Izat Fazzaki  Mohamad Zaki akan berdepan juara Kun Khmer Pich Kakada Red Wolves dari Kemboja selain peninju dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mohd Shahrul Hakim Rosli akan bertemu peninju Iran Majid Baghal.

Beliau berkata satu tali pinggang bakal ditaja penyanyi terkemuka negara Datuk Seri Siti Nuhaliza akan dipertandingkan dalam kategori Wanita Super Fight.

“Selain itu, turut diadakan Festival Sendha Lokha bersama Kelab Muay Thai Kuda Merah bersempena kejohanan Grand Final. Festival ini akan berlangsung pada 15,16, dan 17 Nov di tapak parkir Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan