SUKAN > BERITA

ASHLEY BANGKIT UNTUK KETUAI CABARAN NEGARA PADA KEJOHANAN GOLF MAYBANK

25/10/2024 09:40 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Pemain golf Malaysia Ashley Lau berjaya bangkit daripada permulaan hambar pada pusingan pembukaan semalam untuk mengetuai cabaran tempatan di pusingan kedua pada Kejohanan Golf Maybank 2024, hari ini.

Pemain Olimpik itu mencatatkan empat bawah par 68 untuk berkongsi kedudukan  tempat ke-39 bersama empat pemain  lain dengan jumlah dua hari tiga bawah 141 di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) di Bukit Kiara di sini.

Selepas melakarkan catatan satu atas par 73 semalam, Ashley berjaya membenam enam birdie (di lubang 3,4,6,8,10,17) dan dua bogey di lubang kedua dan 12 untuk catatan 68.

"Ia adalah permulaan yang sangat perlahan bagi saya. Saya rasa tidak bermain dengan baik di sembilan lubang pertama tetapi berjaya dengan satu pukulan bawah par. Pukulan putt mula menjadi pada sembilan lubang kedua, dan saya sangat gembira," kata nya.

Sementara itu, pemain amatur Malaysia Mirabel Ting tidak dapat meneruskan prestasi cemerlangnya apabila hanya merakamkan tiga atas par 75 untuk berkongsi kedudukan ke-44 dengan jumlah catatan dua bawah par 142.

Semalam., pemain berusia 18 tahun itu memulakan penampilan sulung Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) dengan lima bawah 67 untuk berkongsi tempat ke-11.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Sarawak itu kecewa dengan prestasinya hari ini setelah hanya mampu mencatatkan dua birdie di lubang ke-15 dan 17.

Keadaan hari ini agak lebih mencabar. Pukulan putt tidak masuk seperti yang diharapkan. Saya lakukan beberapa pukulan putt tetapi tiada birdie. Sangat kecewa dengan permainan hari ini," katanya.

Wakil tempatan lain, Nur Durriyah Damian dan Liyana Durisic berakhir di kedudukan tercorot dengan masing-masing mencatatkan keseluruhan 13 atas par 157 dan 16 atas par 160.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan