SUKAN > BERITA

MFL AKAN BANTU KL CITY HANTAR RAYUAN KEPADA FIB

25/10/2024 10:08 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan bahawa unit pelesenan kelabnya akan ditugaskan bagi membantu Kuala Lumpur City (KL City) FC dalam mengemukakan rayuan kepada First Instance Body (FIB) untuk semakan.

Dalam satu kenyataan MFL memaklumkan bahawa KL City FC pada 12 Ogos telah menghantar surat berikutan keputusan penalti potongan 6 mata, bertarikh 5 Ogos.

Bagaimanapun MFL memaklumkan surat bertajuk ‘Notis Hasrat untuk Merayu Keputusan FIB’ bukanlah satu rayuan rasmi, tetapi hanya satu pemberitahuan tentang hasrat mereka untuk membuat rayuan, bersama-sama dengan hasrat mereka untuk membentangkan rancangan dan cadangan terperinci selepas pemilihan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang baharu.

Menurut kenyataan itu MFL kemudiannya telah menerima surat baharu semalam, bertarikh 23 Okt bertajuk ‘Rayuan Menentang Keputusan FIB mengenai Kuala Lumpur City FC’, yang mengesahkan komitmen KL City FC untuk meneruskan rayuan itu.

“Untuk tujuan penjelasan, alasan rayuan biasanya disertakan dengan dokumen sokongan daripada agensi masing-masing sebagai bukti, untuk membuktikan rancangan masa hadapan dan menjelaskan mengapa keputusan awal itu sama ada tersasar, tersilap atau berat. Dan mengapa rayuan wajar dikemukakan,” menurut kenyataan itu.

Pemotongan enam mata, telah dikenakan ke atas KL City FC oleh FIB kerana pengisytiharan tunggakan yang tidak tepat semasa proses pelesenan.

Pada 12 Okt, Syed Yazid Syed Omar dipilih sebagai presiden KLFA bagi penggal 2024-2028 semasa Kongres ke-35 persatuan itu.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan