SUKAN > BERITA

ZII JIA TERUSKAN MISI KE WTF 2024 DI HANGZHOU

26/10/2024 10:15 AM

PETALING JAYA, 26 Okt (Bernama) -- Selepas pulih daripada kecederaan, pemain perseorangan badminton profesional, Lee Zii Jia kini bersedia untuk kembali dan berusaha mencapai kejayaan pada kejohanan World Tour Finals (WTF) 2024 yang akan berlangsung dari 11 hingga 15 Dis di Hangzhou, China.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu berharap dapat memperkukuhkan kedudukannya dalam dua kejohanan terakhir sebelum mencapai kejohanan kemuncak di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, yang menawarkan hadiah wang keseluruhan bernilai USD2.5 juta (RM10.8 juta).

“Saya ada dua kejohanan lagi iaitu Japan Masters 2024 dan seterusnya China Masters 2024. Sudah tentu saya akan cuba yang terbaik untuk layak ke WTF,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024, malam tadi.

Zii Jia kini menduduki ranking kelima dalam senarai kelayakan WTF 2024 dengan 69,900 mata.

Hanya lapan pemain terbaik bagi semua kategori (perseorangan dan beregu) layak ke WTF 2024, dengan setiap negara dibenarkan menghantar maksimum dua wakil.

Minggu lepas, pemain ranking ketujuh dunia itu terpaksa menarik diri daripada Terbuka Denmark 2024 di Odense akibat kecederaan buku lali selepas tewas kepada pemain Jepun, Koki Watanabe dengan keputusan 15-21, 21-13, 12-21 dalam Terbuka Artik 2024 di Vantaa, Finland.

Dalam pada itu, Zii Jia, yang berasal dari Kedah, meluahkan rasa syukur setelah menerima RM100,000 daripada SHAKAM atas kejayaan meraih pingat gangsa menewaskan pemain India Lakshya Sen, 13-21, 21-16, 21-11, di Paris 2024 pada Ogos lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan