SUKAN > BERITA

MOHD SUMALI MAHU LIHAT PENUBUHAN AKADEMI BERBANDING STADIUM SEPAK TAKRAW

26/10/2024 06:13 PM

PETALING JAYA, 26 Okt (Bernama) -- Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan sedia mempertimbangkan penubuhan akademi sukan berkenaan berbanding memiliki stadium sendiri.

Mohd Sumali berkata menerusi penubuhan akademi itu, PSM boleh mengenal pasti bakat baharu yang mampu digilap untuk mewarnai arena sukan warisan berkenaan pada masa depan.

“Kita masih dalam proses perbincangan untuk mengenal pasti apa kriteria sebenar stadium, sama ada digunakan untuk kejohanan, latihan atau pusat akademi.

“Saya lebih mengutamakan kewujudan sebuah stadium atau infrastruktur untuk akademi sepak takraw Malaysia. . Jika tidak dapat memiliki stadium, tidak mengapa, kerana di akademi itu kami dapat melahirkan ramai bakat baharu," katanya kepada pemberita pada siri ketiga Klinik Latihan Asas Sepak Takraw (KLAS) di Sekolah Kebangsaan Taman Dato Harun (2) di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohd Sumali berkata pihaknya merancang memiliki stadium sendiri dengan mengenal pasti beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang.

Dalam pada itu, Mohd Sumali mengakui amat teruja dengan respons positif bukan sahaja daripada murid sekolah rendah dan menengah, tetapi juga dalam kalangan ibu bapa peserta sendiri menerusi penganjuran KLAS yang bermula sejak bulan lepas.

Mohd Sumali berkata penganjuran KLAS perlu diteruskan bagi memupuk minat dalam kalangan murid sekolah terhadap sepak takraw.

Sementara itu, seorang peserta Mohd Qais Iman Shamsul, 12, gembira kerana dapat menimba pengalaman berharga di KLAS termasuk mempelajari teknik daripada bekas pemain sepak takraw negara.

Mohd Qais berkata penyertaan di KLAS membakar semangatnya yang bercita-cita mewakili skuad kebangsaan satu hari nanti.

Penganjuran siri ketiga KLAS hari ini menghimpunkan seramai 108 murid sekolah rendah dan menengah, dengan peserta berpeluang mempelajari teknik asas sukan itu dan mendapat ‘sentuhan’ daripada bekas perejam negara Mohd Futra Abdul Ghani yang menjadi tenaga pengajar program berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan