SUKAN > BERITA

KEJOHANAN GOLF MAYBANK: SAINGAN MAKIN SENGIT, TIGA PEMAIN KONGSI KEDUDUKAN PENDAHULU

26/10/2024 08:31 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Perebutan gelaran juara semakin sengit selepas tiga pemain berkongsi kedudukan sebagai pendahulu pada pusingan akhir Kejohanan Golf Maybank 2024 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) esok.

Selepas menamatkan pusingan ketiga hari ini, naib juara 2023 Jeeno Thitikul dari Thailand, pemain nombor empat dunia Yin Ruoning (China) dan pemain nombor sembilan dunia Ryu Hae Ran (Korea Selatan) terikat di kedudukan teratas dengan catatan 16 bawah par 200 pada Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) bernilai US$3 juta (kira-kira RM13 juta).

Thitikul, pemain nombor 11 dunia muncul pemain terbaik hari ini selepas mencatat lapan bawah par 64, dengan satu eagle pada lubang ketiga dan enam birdie (di lubang keempat, kelima, kesembilan, ke-16, ke-17 dan ke-18) untuk mendaki lapan anak tangga di kedudukan teratas. Pada pusingan pertama dan kedua, beliau mencatat masing-masing 67 dan 69 pukulan.

Satu-satunya pemain yang mencatat lapan bawah par hari ini ialah pemain amatur negara Mirabel Ting (67-75-64), yang terikat di tempat ke-10 bersama pemain Australia Gabriela Ruffels (69-66-71) dengan catatan keseluruhan selepas tiga hari beraksi 10 bawah par 206.

Thitikul, 21, yang tewas kepada Celine Boutier dalam aksi playoff sembilan lubang tahun lepas, berkata beliau berasa seperti bermain di negara sendiri kerana berdekatan dengan Thailand dan sokongan padu daripada peminat tempatan.

“Ini merupakan hari yang baik, saya tidak boleh meminta lebih daripada ini. Saya akan cuba bermain lebih baik setiap hari, tidak kira apa orang lain lakukan. Hari ini, semuanya berjalan dengan lancar dan setiap detik saya menikmatinya.

“Perasaan saya sangat baik di sini … KL dekat dengan Thailand, dan rasa seperti rumah kedua kerana saya mendapat sokongan padu daripada orang ramai. Lapangan ini sangat licin, saya rasa ia antara yang terbaik dalam Jelajah LPGA,” katanya.

Rakan baik Thitikul, Yin meneruskan aksi konsistennya dengan mencatat enam bawah par 66, termasuk empat birdie berturut-turut bermula dari lubang ketiga dan birdie tambahan pada lubang ke-14 dan 18, selepas mencatat 67 pukulan pada pusingan pertama dan kedua.

“Saya bermula dengan baik, membuat beberapa putt di sembilan lubang pertama, kemudian rentak saya perlahan sedikit tetapi saya berjaya menamatkan permainan dengan baik,” kata Yin, yang memenangi gelaran Jelajah LPGA keempatnya di Buick LPGA Shanghai baru-baru ini.

Sementara itu, Ryu mencatat lima bawah par 67 selepas membenam lima birdie (di lubang kedua, ketiga, ketujuh, kelapan dan ke-17) setelah mencatat masing-masing 64 dan 69 pukulan dalam dua pusingan pertama.

Pendahulu semalaman Maja Stark dari Sweden menurun ke tempat kedua selepas mencatat dua bawah par 70 untuk catatan keseluruhan 14 bawah par 202 manakala juara bertahan Boutier kekal dalam saingan setelah mencatat empat bawah par 68 untuk berkongsi di tempat kelima dengan 12 bawah par 204.

Sementara itu, Emily Kristine Pedersen dari Denmark memukau penonton selepas merekodkan pukulan selubang (hole-in-one) pertama kejohanan pada lubang keempat par tiga dari jarak 96 ela (87.78 meter) manakala Kristen Gillman dari Amerika dan Anna Nordqvist dari Sweden tidak mengambil masa lama untuk menyamai pencapaian di lubang sama.

Kali terakhir tiga pukulan selubang dalam satu pusingan adalah pada pusingan ketiga JTBC Classic 2022 apabila Lilia Vu (Amerika Syarikat), Kelly Tan (Malaysia) dan Lee Jeonguen (Korea Selatan) masing-masing mencatat hole-in-one di lubang ketiga di Kelab Golf Aviara, California.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan