SUKAN > BERITA

HANNAH GESA PERSATUAN, KELAB BINA BADAN PERKASA PENDIDIKAN ANTI-DOPING

27/10/2024 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menggesa semua persatuan serta kelab bina badan untuk memperkasa dan menggiatkan pendidikan anti-doping untuk menggelakkan penggunaan bahan terlarang dalam kalangan komuniti sukan itu khususnya di peringkat amatur.

Hannah yang hadir pada pertandingan Mr Enrich 2024 di sini hari ini, memaklumkan beliau lega apabila kejohanan itu turut mendapat kerjasama Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) untuk memantau selain memberikan penerangan tentang pendidikan anti-doping.

“Saya minta kelab bina badan untuk buat program kesedaran mengenai doping bersama ADAMAS supaya kita nak bagi banyak pendidikan (doping) kepada atlet kita.

“Saya difahamkan 30 peratus peserta kejohanan ini merupakan muka baharu dan ia sia-sia kalau kita tidak bagi pendidikan mengenai doping kepada mereka melalui ADAMAS. Ini juga merupakan salah satu cara untuk kita bergerak ke hadapan untuk sukan selamat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Pada bulan lepas, ADAMAS menggumumkan seorang atlet yang bertanding di Kejohanan Bina Badan Peringkat Kebangsaan Ke-53 pada 28 Ogos di Johor Bahru didapati positif penggunaan bahan terlarang.

Sementara itu, Hannah berkata beliau gembira apabila Kejohanan Mr Enrich 2024 menarik 572 penyertaan, sekali gus meletakkan pertandingan itu dalam Malaysia Book of Records.

Beliau juga turut teruja apabila kejohanan tahun ini turut memperkenalkan kategori baharu iaitu melibatkan atlet-atlet badan beruniform.

“Kali ini mereka mewujudkan platform kategori badan beruniform seperti bomba polis dan kastam untuk bertanding.

“Ini satu benda yang bagus sebab sebelum ini kita lihat mereka ini hanya pada persembahan sewaktu hari kebangsaan atas trak sahaja. Sebenarnya kita memang ada banyak bakat (bina badan),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan