SUKAN > BERITA

PENGANJUR BERSAMA SUKAN SEA 2027 SATU PELABURAN BUAT SARAWAK - ABANG JOHARI

28/10/2024 11:01 AM

KUCHING, 28 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak melihat peranannya selaku penganjur bersama temasya Sukan SEA 2027 sebagai satu pelaburan yang boleh meningkatkan profil negeri itu di seluruh Asia Tenggara.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menjangkakan negeri berkenaan bakal mempunyai syarikat penerbangan sendiri menjelang temasya sukan dwitahunan itu, sekali gus memberi peluang negara-negara ASEAN mengenali Sarawak dengan lebih dekat.

“Pada saya, ini (tuan rumah bersama Sukan SEA 2027) adalah satu lagi bentuk pelaburan, kerana seperti yang kita tahu ia melibatkan beberapa negara dan kami mahu berkongsi pembangunan kami melangkaui sempadan Sarawak malah juga di luar Malaysia,”  katanya.

Berucap pada Malam Apresiasi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, di sini malam tadi, Abang Johari turut menggesa rakyat Sarawak melihat Sukan SEA 2027 sebagai platform untuk mempamerkan keupayaan mereka dalam menganjurkan acara besar.

“Biarlah mereka (negara jiran Asia Tenggara) melihat apa yang kita boleh capai. Apabila diberikan tugas, kami akan laksanakannya dengan profesionalisme dan kejayaan - itu moto kami,”  katanya.

Pada upacara penutup SUKMA 2024 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan SEA 2027.

Beliau berkata ia susulan penganjuran luar biasa Sarawak bagi acara temasya sukan dwitahunan kebangsaan itu yang disifatkannya sebagai antara yang terbaik dalam sejarah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan