SUKAN > BERITA

AKSI PERSAHABATAN HARIMAU MALAYA MENENTANG INDIA DIAWALKAN SEHARI

30/10/2024 10:02 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 antara India dan Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 19 Nov di sana terpaksa diawalkan sehari atas persetujuan bersama kedua-dua pasukan.

Berdasarkan hantaran Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, pertembungan pada 18 Nov itu akan berlangsung di Stadium Gachibowli, Hyderabad, India.

“Pada pengumuman sebelum ini, perlawanan menentang India dijadual pada 19 Nov, namun atas persetujuan bersama, ia diawalkan sehari ke Isnin, 18 Nov dengan perlawanan akan berlangsung di Stadium Gachibowli,” mengikut hantaran itu.

Perubahan itu bagaimanapun tidak menjejaskan jadual perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 antara Laos dan Malaysia di Stadium Pat, Bangkok pada 14 Nov.

Sebelum ini, FAM mengesahkan skuad Harimau Malaya bimbingan Pau Marti Vicente akan bertemu India pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 pada 19 Nov di venue yang akan ditentukan.

Berdasarkan kedudukan terkini ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia menghuni tempat ke-133 manakala India (125) dan Laos (187).

Kedua-dua perlawanan persahabatan antarabangsa itu merupakan tonik terbaik buat Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A Kejohanan ASEAN 2024 bermula Disember ini bersama juara bertahan Thailand serta Kemboja, Singapura dan Timor-Leste. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan