SUKAN > BERITA

15 ATLET WUSYU NEGARA SERTAI KEJOHANAN SULUNG WUSYU ASEAN-CHINA

02/11/2024 12:55 PM

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

NANTONG (China), 2 Nov (Bernama) -- Lima belas atlet wusyu negara antara 1,500 peserta Kejohanan Wusyu ASEAN-China di Nantong di sini, bermula esok hingga Rabu ini bersempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China.

Presiden Persekutuan Wusyu ASEAN-China Datuk Chong Kim Fatt berkata kejohanan sulung diadakan di Universiti Nantong itu bertujuan memperkukuh lagi diplomasi sukan antara 10 negara ASEAN terlibat selain memberi pendedahan kepada atlet menimba pengalaman.

“Wusyu ni ada satu jambatan penghubung, menerusinya ia membawa kita ke sini (Nantong) bagi mengadakan diplomasi sukan.

“Saya dapati ada ramai pemenang emas Olimpik dan jaguh dunia daripada pelbagai jenis sukan lahir di sini (Nantong), jadi mungkin ada nilai tambah yang kita boleh belajar pada masa akan datang untuk pembangunan sukan dalam negara bukan sahaja untuk sukan wusyu,” katanya ketika ditemui di sini.

Kim Fatt yang juga Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (PWM) berkata antara atlet wusyu terlibat ialah Clement Ting Su Wei, Lee Ron, Mok Xiao Yuan, Muhammad Danish Aizad, Si Shin Peng, Tan Zhi Yan, dan Wong Zi Hong dalam kategori lelaki.

Lee Jia Rong, Tan Cheong Min, Mandy Cebelle Chen, Sydney Chin, Kwan Yong Xin, dan Pang Pui Yee pula dalam kategori wanita.

Beliau berkata selain peserta dalam kalangan atlet, kejohanan berkenaan turut membuka ruang buat pelajar universiti dan kelab di sini terlibat sama sebagai tanda persahabatan antara dua negara yang telah lama terjalin.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik China Yu Zaiqing dijadual menghadiri perasmian kejohanan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan