SUKAN > BERITA

THAILAND GABUNG TIGA ACARA TAOLU PADA SUKAN SEA 2025

06/11/2024 01:00 PM

Oleh Muhammad Afiff Md Adnan

NANTONG (China), 6 Nov (Bernama) -- Buat pertama kalinya dalam sejarah, tiga acara wusyu bagi rutin taolu akan digabungkan untuk perebutan satu pingat pada Sukan SEA 2025 di Thailand.

Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (PWM) Datuk Chong Kim Fatt berkata keputusan negara penganjur itu perlu dipertimbangkan semula kerana tidak pernah dilakukan pada mana-mana edisi Sukan SEA sebelum ini. 

Beliau berkata sekiranya ketetapan itu tidak berubah, ia bakal memberikan kesan kepada atlet yang bertanding.

“Kesan utama adalah mendatangkan keletihan kepada atlet ini kerana mereka perlu beraksi dalam tiga acara serentak dalam tempoh sehari.

“Pada masa sama, ia akan mendatangkan kesukaran kepada mana-mana negara dalam perebutan pingat,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Wusyu ASEAN-China di Universiti Nantong di sini.

Kim Fatt berkata perkembangan terbaharu itu dimaklumkan wakil tuan rumah pada kongres di sini yang mengejutkan rata-rata persatuan wusyu dari negara terlibat.

“Kita akan cuba berbincang dengan pihak penganjur berhubung perkara ini. Sekiranya ia tidak berubah, kita harap supaya tempoh sukan wusyu berlangsung dilanjutkan lebih daripada tiga hari supaya ada ruang untuk satu-satu acara (rutin taolu) itu diadakan pada hari lain.

“Ia termasuk penyertaan kategori umur bagi acara sanda yang perlu diturunkan kerana bukan semua negara ada atlet dalam kategori 70 kilogram ke atas,” katanya yang juga merupakan Presiden Persekutuan Wusyu ASEAN-China.

Pada temasya dwitahunan itu, rutin taolu akan membabitkan gabungan nanquan/nandao/nangun sebagai satu acara, changquan/daoshu/gunshu (satu acara) serta taijiquan/taijijian (satu acara) akan dipertandingkan bagi kategori lelaki.

Bagi saingan wanita pula membabitkan gabungan nanquan/nandao/nangun sebagai satu acara, changquan/qiangshu/jianshu (satu acara) serta taijiquan/taijijian (satu acara) manakala masing-masing empat acara bagi duilian dan sanda, sekali gus menyaksikan keseluruhan 14 acara dipertandingkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan