SUKAN > BERITA

ACL2: REKOD TANPA KALAH SELANGOR FC LEBUR DI TANGAN JEONBUK

07/11/2024 09:44 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Selangor FC (SFC) gagal meneruskan momentum kemenangan apabila ditewaskan oleh wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors FC 0-1 pada aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2024/25 di Stadium Piala Dunia Jeonju, Korea Selatan, malam ini.

Kekalahan itu sekali gus menjadikan skuad kendalian sementara Abdi Hassan berdepan kekalahan pertama dalam kejohanan itu dan menyaksikan Jeonbuk merampas teraju pendahulu kumpulan dengan sembilan mata selepas empat perlawanan.

SFC pula terpaksa akur jatuh di tangga kedua dengan tujuh mata, hanya dua mata di depan Muangthong United dan Dynamic Herb Cebu tercorot dengan satu mata ketika saingan peringkat kumpulan berbaki dua perlawanan.

Babak pertama menyaksikan pasukan tuan rumah memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri dengan bermula garang untuk mendominasi perlawanan sebelum membuka tirai jaringan pada minit ke-22.

Jaringan tersebut diperoleh menerusi tandukan Orobo Tiago selepas menerima sepakan penjuru Chang-Hoon Kwon untuk mewaskan penjaga gol SFC Muhammad Azim Ali.

Jeonbuk kendalian Kim Do-Heon, yang tewas 1-2 kepada SFC di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) pada 23 Okt lalu, kemudian hampir menggandakan kedudukan apabila sekali lagi memperoleh sepakan penjuru yang diambil Hoon Kwon, namun berjaya disekat pemain import SFC Ronnie Fernandez, lima minit kemudian.

SFC cuba membalas menerusi dua percubaan berturut-turut pada minit ke-34 dan minit ke-35 namun rembatan Alvin Fortes tersasar sebelum percubaan lencong Ali Olwan gagal untuk menewaskan Kim Jeonghoon.

Bersambung babak kedua, skuad Gergasi Merah dilihat semakin agresif untuk membuka tirai jaringan dan hampir berhasil namun sepakan kencang  Ali Olwan tersasar pada minit ke-61. 

Serangan silih berganti dilakukan kedua-dua pasukan tidak membuahkan hasil selain tambahan masa tiga minit juga tidak cukup untuk mengubah keputusan perlawanan dengan tuan rumah terpaksa berpuas hati dengan kemenangan ketiga.

SFC memulakan kempen ACL2  dengan seri 1-1 dengan wakil Thailand, Muangthong United FC pada 19 Sept diikuti menang 1-0 ke atas Dynamic Herb Cebu FC (Filipina) pada 3 Okt dan menang 2-1 ke atas Jeonbuk  di Petaling Jaya pada 23 Okt lepas.

Selepas ini, Selangor akan melayani kunjungan Muangthong United di Stadium  MBPJ pada 28 Nov ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan